Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Pas memantau dengan rapat perkembangan berkaitan Perjanjian Timbal Balik (ART) Malaysia-Amerika Syarikat  (AS) yang kini mendapat tentangan meluas daripada pelbagai pihak termasuk cendekiawan, ahli akademik dan pakar undang-undang.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu memandang serius isu berkenaan kerana ia didakwa boleh menggugat kedaulatan negara sekiranya diteruskan oleh kerajaan.

Menurutnya, Pas tidak menolak kemungkinan untuk mengambil beberapa tindakan lanjut bagi memastikan perjanjian tersebut dihentikan dan rakyat mendapat penjelasan mengenai implikasinya.

“Pas tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan beberapa langkah bagi memastikan tindakan menggadaikan kedaulatan negara melalui perjanjian ini dapat dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Fadhli, antara tindakan yang bakal dipertimbangkan termasuk menggerakkan tindakan memfailkan semakan kehakiman (judicial review) terhadap perjanjian ART jika terdapat asas yang kukuh.

“Selain itu, Pas akan mengadakan forum menghimpunkan tenaga profesional dan ahli akademik bagi membongkar implikasi perjanjian tersebut.

“Malah akan menggerakkan Himpunan Mega Turun Anwar 2.0 sebagai suara rakyat mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan ART antara Malaysia dan AS tidak mengandungi sebarang peruntukan yang bercanggah dengan semangat atau peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai kedudukan penting dalam sebarang perjanjian negara termasuk ART bagi memastikan ia selaras dengan undang-undang Malaysia.

Untuk rekod, perjanjian ART adalah sesuatu yang wajib ditandatangani bagi mengelak produk Malaysia dikenakan cukai tinggi masuk ke pasaran AS.

AS merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia sejak puluhan tahun dan tidak mungkin negara ini boleh memindahkan pasaran produk ke negara lain dalam masa hanya beberapa tahun jika enggan menandatangani ART yang mengurangkan tarif daripada 25% kepada 19%.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan berlaku penutupan kilang dan pengangguran apabila produk Malaysia tidak lagi dibeli di AS berikutan harga yang tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast