PUTRAJAYA – Siasatan polis berhubung kematian pempengaruh media sosial warga Taiwan, Hsieh Yun Hsi yang membawa penahanan reman penyanyi, Namawee adalah mengikut prosedur yang sewajarnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, adalah penting bagi polis untuk mengklasifikasikan sesuatu kes terlebih dahulu sebelum menentukan arah siasatan.
“Langkah pertama buat berdasarkan bukti dan setelah maklumat awal diambil dari saksi-saksi maka dari situ baru klasifikasikan bawah akta dan seksyen mana dan itu mereka akan strategikan mengikut hala tuju siasatan.
“Paling penting adalah mereka (polis) mencari kebenaran dan memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya dalam sidang media selepas Program Jelajah Wira Madani di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini.
Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kelewatan polis mengklasifikasikan semula kes Yun Hsi daripada kematian mengejut kepada kes bunuh.
Terdahulu, pengarah filem, Namawee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 42, direman enam hari berhubung siasatan kematian Hsieh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam sebelum ini berkata, suspek direman sehingga 10 November selepas proses reman dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Dalam hantaran di Facebook, Namewee memberitahu, dia tiba di ibu negara dari Johor Bharu untuk hadir membuat laporan dan memberi keterangan.
Tegasnya, dia tidak melarikan diri dan sebelum ini telah menerima notis panggilan ke balai polis sebanyak tujuh kali dan hadir kesemuanya tanpa paksaan.
Sebelum itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan pihaknya mencari Namewee bagi membantu siasatan kematian Hsieh.
Polis kemudian mengklasifikasikan semula kes Hsieh sebagai kes bunuh selepas pada awalnya dikategorikan sebagai kematian mengejut.
Siasatan awal mendapati Namewee merupakan individu terakhir dilihat bersama mangsa berusia 31 tahun itu di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay jam 1.40 tengah hari pada22 Oktober lalu.
Suspek kemudiannya ditahan atas kesalahan berkaitan dadah namun dibebaskan selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan di Mahkamah Jalan Duta pada 24 Oktober.
Fadil dilaporkan berkata, kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan penemuan beberapa unsur mencurigakan.
Ujarnya, polis telah merakam keterangan beberapa kakitangan dan pegawai keselamatan hotel selain meneliti rakaman kamera litar tertutup bagi mengesan pergerakan mangsa dari lapangan terbang hingga ke hotel. – MalaysiaGazette
















