Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PUTRAJAYA – Seorang lagi suspek lelaki ditahan polis susulan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan tanpa pakaian dan tangan terikat di kawasan semak berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, susulan penahanan lelaki tempatan itu menjadikan lima individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama.

“Lelaki itu direman selama lima hari sehingga 10 November ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

TambahMuhamad Farid, tiga suspek yang ditahan sebelum ini disambung reman tiga hari sehingga esok manakala seorang lagi suspek juga disambung reman tiga hari sehingga Sabtu ini.

“Kita masih belum memperoleh keputusan bedah siasat berhubung punca kematian mangsa dan siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian itu,” jelasnya.

Terdahulu media melaporkan, mayat seorang wanita tidak berpakaian dan tangan berikat ditemui orang awam di Seri Kembangan jam 3.45 petang pada 29 Oktober lalu.

Muhamad Farid dilaporkan berkata, jasad mangsa berusia 24 tahun itu dipercayai bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya Ampang dan kedai serbaneka di Bukit Bintang.

Susulan itu, polis menahan dua bekas teman lelaki dan abang angkat kepada wanita itu pada 30 Oktober lalu malah turut ditahan suspek keempat yang juga wanita berusia 30-an pada Ahad lalu bagi membantu siasatan.

Beliau juga memaklumkan, kes terbabit sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast