KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menyemak semula keputusan untuk memfailkan rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi yang memutuskan kerajaan dan polis bertanggungjawab atas kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa, keputusan untuk merayu berisiko menjejaskan keyakinan orang ramai kepada komitmen kerajaan terhadap keadilan dan hak asasi manusia.
“Penghakiman ini menetapkan duluan perundangan dan moral yang penting, memberi isyarat mahkamah Malaysia kini bersedia untuk mengenakan kos ketara kepada tindakan dan sikap berdiam diri pihak berkuasa – satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh perundangan hak asasi manusia dan akauntabiliti institusi,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berhubung kes kehilangan aktivis Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh.
AGC dalam dua kenyataan berasingan berkata, rayuan akan difailkan susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Tiang Joo, yang memutuskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kehilangan mereka.
Chean Chung menegaskan, penghakiman Mahkamah Tinggi bukan sahaja bersejarah, malah menjadi pengiktirafan bahawa keluarga mangsa layak menerima pampasan atas penderitaan berpanjangan yang ditanggung sejak lapan tahun lalu.
Menurut beliau, kes kehilangan paksa itu turut mendapat liputan media antarabangsa termasuk BBC, CNA dan The Straits Times, sekali gus meletakkan Malaysia di bawah pemerhatian global.
“Kerajaan Madani berdiri di atas prinsip ihsan, hormat dan kepercayaan. Keputusan mahkamah ini mencerminkan nilai-nilai tersebut dengan mengakui penderitaan mendalam keluarga mangsa.
“Sebaliknya, keputusan untuk merayu berisiko meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap prinsip yang sering dilaungkan oleh kerajaan sendiri,” katanya.
Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016 manakala Raymond Koh hilang pada 13 Februari 2017.
Rabu lalu, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.
Mahkamah turut mengarahkan PDRM membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula semalam dan melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Mahkamah sama turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew.
Ia susulan perintah supaya kerajaan dan PDRM membayar ganti rugi RM10,000 sehari kepada keluarga Raymond bermula dari tarikh beliau diculik pada 13 Februari 2017 sehingga pihak berkuasa mendedahkan keberadaannya.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing. – MalaysiaGazette
















