Pemandu bas kilang tersebut ditahan JPJ kira-kira lima kilometer dari lokasi pertama dia diarah berhentikan kenderaannya.

SEBERANG JAYA – “Saya terima arahan daripada tauke (majikan) untuk lari daripada pemeriksaan JPJ,” itu alasan seorang pemandu bas kilang yang nekad melarikan diri daripada operasi khas bas pekerja Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang hari ini.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, pemandu berusia 30-an itu bertindak sedemikian selepas anggota penguat kuasa cuba menahannya ketika operasi dijalankan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dekat sini, sekitar jam 6 pagi.

Zulkifly.

“Pemandu berkenaan dikatakan baru selesai menghantar pekerja ke kilang sebelum melarikan diri dengan memandu bas secara melulu sejauh lebih lima kilometer dari lebuhraya  berkenaan hingga ke kawasan perindustrian Batu Maung sebelum berjaya ditahan anggota penguat kuasa.

“Semakan lanjut mendapati lelaki terbabit tidak memiliki lesen memandu dan lesen vokasional (PSV), selain kenderaan yang dipandunya tidak mempunyai cukai jalan serta perlindungan insurans yang sah.

Zulkifly menunjukkan bas pemandu tersebut antara yang disita pihaknya.

“Pemeriksaan turut mendapati pemandu berkenaan mempunyai 10 saman lampau yang masih belum diselesaikan, membabitkan kesalahan sama iaitu tiada lesen, tiada PSV dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya pada sidang media sebaik selesai operasi hari ini.

Tambah Zulkifly, pihaknya menyita bas kilang tersebut selain akan mengambil tindakan terhadap majikan pemandu berkenaan.

Mengulas lanjut Zulkifly berkata, dalam operasi bermula jam 5 pagi itu, sebanyak 215 kenderaan diperiksa dengan 81 saman dikeluarkan, manakala 26 bas kilang diambil tindakan termasuk 20 disita atas pelbagai kesalahan.

Beliau turut mendedahkan, pihaknya turut mengesan beberapa pengusaha menggajikan warga asing sebagai pemandu bas pekerja, sedangkan ia merupakan satu kesalahan kerana warga asing tidak dibenarkan membawa kenderaan seumpama itu.

“Saya ingin mengingatkan pengusaha supaya tidak sewenang-wenangnya menggaji pemandu yang tidak layak.

Ada juga pengusaha yang dikesan menggunakan van persendirian untuk membawa pekerja kilang.

“Mereka perlu memastikan semua dokumen pemandu, termasuk lesen memandu dan lesen PSV, masih berkuat kuasa sebelum dibenarkan membawa pekerja.

“Pengusaha yang mengambil mudah perkara ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. bagus..Harap pihak JPJ buat operasi terutama di kawasan Batu Kawan juga.
    Periksa pemandu terutama orang asing yang diambil sebagai pemandu.
    Tindakan tegas juga kepada majikan/tauke bas atau van kilang yang tidak memikirkan keselamatan penumpang,mereka hanya fikir untung.
    Senarai hitam syarikat yang ingkar supaya pihak industri/perkilangan tahu dan tidak mudah ditipu oleh pengusaha bas/van kilang yang begitu

Comments are closed.