KUALA LUMPUR – Penganjur Warzone World Championship 2025 (WWC 2025) tidak akan mendapat keistimewaan khas untuk mendapat kelulusan bagi menganjurkan acara sukan tempur itu yang dijadualkan pada 6 dan 7 Disember depan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Pesuruhjaya Sukan akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan proses pemohonan dijalankan seperti biasa selepas WWC mengemukakan permohonan penganjurannya kelmarin.
“Seperti yang saya jelaskan, kenapa kita larang kanak-kanak di bawah 15 tahun kerana kita risau ada yang tidak cukup data yang mungkin pernah lawan satu kali sahaja.
“Tetapi mereka dibuat matching (padanan) dengan seorang yang 100 kali lawan. Jadi pengalaman itu tak matching dan saya risau sekadar hiburan untuk naikkan sales, mungkin kita akan tampilkan selebriti dan pempengaruh.
“Tetapi mungkin mereka tak cukup pengalaman. Jadi semua itu akan diteliti oleh badan sukan kebangsaan, kita tunggu sanction mereka dan juga Pesuruhjaya Sukan akan menjalankan tugas mereka untuk pastikan proses pembohonan itu diproses seperti biasa.
“Tak ada keistimewaan khas kerana dia jadi viral (tular), kita belum proses,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pentauliahan Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda
(ARPRM) 2025 di sini hari ini.

Semalam Hannah mengumumkan semua penganjur acara sukan tempur dilarang melibatkan atlet bawah umur 15 tahun dalam acara full-contact tanpa pelindung keselamatan dan perlu mengikut peraturan badan pengelola kebangsaan masing-masing.
Beliau berkata, penyertaan atlet bawah umur bagi sukan tempur seni bela diri campuran (MMA) , muay thai, kickboxing dan tinju hanya dibenarkan dalam kejohanan rasmi anjuran Persatuan Sukan Kebangsaan atau Persatuan Sukan Negeri yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
Menurutnya, keputusan itu dibuat selaras dengan kuasa yang diperuntukkan sebagai menteri di bawah Akta 576 setelah mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan.
Sebelum itu, Hannah meluahkan rasa sedih dan ralat terhadap tindakan penganjur WWC yang didakwanya menggunakan peserta kanak-kanak mengemukakan permohonan maaf kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung penganjuran kejohanan tersebut.
Hari ini, dalam satu kenyataan, pihak penganjur WWC mengesahkan telah menghantar surat rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk tujuan pendaftaran.
Penganjur juga berharap proses permohonan berjalan lancar dan dijangka akan mendapat kelulusan dalam masa terdekat.
Mereka juga menegaskan ketika ini, acara WWC 2025 yang dijadualkan akan tetap berlangsung pada 6 dan 7 Disember 2025 bertempat di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan di mana jualan tiket juga kekal tersedia untuk peminat sukan tempur. – MalaysiaGazette

















