PATTANI – Meskipun minoriti, orang Islam di Selatan Thailand tidak ditindas sebaliknya hidup bebas dan damai di negara itu tanpa sekatan selagi masing-masing mengutamakan keselamatan antara satu sama lain.
Menurut Pengasas Sekolah Saiburi Islam Wittaya, Datuk Nider Waba, kerajaan Thailand tidak pernah menyisihkan dan menganaktirikan suara, cadangan orang Islam di wilayah-wilayah selatan negara itu.
Bahkan katanya, perkembangan pelajaran sekolah agama swasta di kawasan itu bergerak seiring dengan pendidikan arus perdana.
Menurut beliau, ia terbukti apabila kerajaan Thailand memberikan bantuan kepada sekolah yang diasaskannya sejak tahun 1968 itu.

“Kita bersyukur kepada Allah, apa yang saya kemukakan kepada kerajaan (syor) mereka terima (mengenai pelajaran).

“Kami di sini (orang Islam) bukan dijajah, setiap inci bumi di Thailand ini kami sama dengan yang lain sebab itu kami boleh tinggal di sini,” katanya etika sesi pertemuan bersama media baru-baru ini.
Sebagai rekod, Sekolah Saiburi Islam Wittaya terletak di mukim Taluban, daerah Saiburi,wilayah Pattani adalah sekolah swasta agama di bawah Pejabat Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Thailand.
Sekolah itu berhasrat untuk menjadi institusi pendidikan yang berkualiti, menuju standard antarabangsa, menekankan pengajaran ke arah kecemerlangan dengan inovasi dan teknologi dalam berpegang teguh kepada prinsip Islam.
Mengulas lanjut, Nider berkata, masih ada sebahagian kecil iaitu kumpulan pemisah yang tidak memahami bahawa kerajaan Thailand tidak pernah menafikan hak orang Islam di negara itu khususnya di kawasan-kawasan selatan untuk hidup aman bersama penganut Buddha.

“Yang masih tidak faham lagi, saya minta kepada umat Islam di sini kita kena mengerti kita orang berketurunan Melayu beragama Islam berbangsa Thailand,” tambahnya.
Sehubungan itu katanya, penting untuk orang Islam bukan hanya sekadar beramal dengan agama tetapi turut mempunyai ilmu pengetahuan.
Pentingnya pendidikan padanya untuk membangunkan ummah.
Justeru itulah yang diperjuangkan oleh Nider bagi memastikan anak-anak Islam di Selatan Thailand mendapat hak menimba pelajaran arus perdana selain mendapat didikan agama yang secukupnya.
Perjuangan yang dibawanya tanpa menggunakan keganasan terbukti berhasil pada hari ini meskipun ada yang tidak menganggapnya cenderung kepada masyarakat Buddha.
“Kita kena utamakan pelajaran, bahagian agama dan akademi, ini orang Islam yang nak merdeka, nak memerintah Thailand tapi nak menulis pun tidak pandai. Orang Islam mesti ada ilmu pengetahuan.
“Maka daripada itu saya buat sekolah agama swasta kerana dapat bantuan daripada kerajaan. Bermula daripada saya kerajaan berikan peruntukan,” jelasnya.
Keberhasilan itu katanya lagi, hasil pendekatan yang dibawanya iaitu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat bukan Islam khususnya mengutamakan keselamatan semua rakyat berbilang agama.
“Pihak kerajaan pun baik mereka faham bahawa perjuangan saya ini untuk ummah, pihak intelektual dan akademi pun di negara ini baik. Jadi, dapat sokongan kerjasama yang baik.
“Hari ini kejayaan dalam bidang pelajaran, lebih kurang 50 tahun kita dapat melahirkan generasi yang berpelajaran yang mana kerajaan sendiri pun boleh katakan berpuas hati dengan dasar pelajaran sekolah agama swasta, silibus yang kita syorkan.

“Jadi kerajaan lihat dasar pelajaran Islam menyentuh isu keteguhan negara, bahkan menyokong sebab itulah pihak kerajaan menyokong sepenuhnya,” tambahnya.
Tidak menafikan ada kumpulan pemisah yang tidak senang dengan caranya yang berjaya mewujudkan hubungan baik dengan kerajaan Thailand tetapi Nider tidak pernah rasa bimbang kerana baginya, pembangunan ummah merupakan keutamaannya.
Pembangunan ummah, katanya, tidak perlu menggunakan keganasan untuk berjaya sebaliknya menjalinkan hubungan baik dengan penganut Buddha tanpa menjejaskan pendirian dan pegangan agama.
Baginya, memartabatkan Islam di Selatan Thailand tidak memerlukan tindakan melampau.
“Saya buat (berjuang untuk anak-anak Islam dapat pelajaran) sampai terima ugutan bunuh saya, ada tuduh dan fitnah saya kata saya penjajah.
“Orang Islam nak berjuang memartabatkan agama kena ke depan untuk dapat naikkan darjat itu dengan cara yang betul di Thailand,” katanya lagi.
Beliau berpendirian, menghormati demokrasi, cara hidup bermasyarakat bersama-sama tidak menjadikan Islam ditindas sebaliknya berpeluang untuk menarik orang bukan Islam tertarik dengan agama yang membenci kekacauan.
“Islam bersaudara semuanya, jadi perjuangan saya di sini saya boleh berkawan rapat, berterus terang dengan rakan penganut Buddha saya tidak terfikir nak mengasingkan wilayah.
“Saya yakin di Thailand ini, saudara yang beragama Buddha tidak pandang serong kepada umat Islam. Sebab itu Raja Thailand pun mempunyai hubungan baik dengan saya.
“Tujuan saya sebagai orang Islam di sini bagaimana nak ajak orang lain tertarik dengan Islam. Terikat (jatuh hati) dengan Islam,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Nider berharap supaya umat Islam bersatu padu, tidak perpecah dek kerana tuntutan tersendiri dan mengekalkan hubungan harmoni dengan masyarakat berbilang agama demi keamanan dan kemajuan bersama.

“Jangan kerana pentingkan kuasa pangkat ada yang rela berbunuh sesama Islam. Hari ini kita mahukan orang Islam bersatu padu dengan cara membawa keteguhan dan keamanan kepada negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Thailand sedia berbincang dengan BRN tamatkan ketegangan wilayah selatan
















