YALA – Thailand sentiasa membuka peluang dan bersedia mengadakan perbincangan bersama kumpulan Barisan Revolusi Nasional (BRN) bagi menamatkan ketegangan di wilayah selatan negara ini.
Komander Tentera Keempat, Leftenan Jeneral Noratip Poynok berkata, perbincangan merupakan jalan terbaik demi keamanan berbanding keganasan yang merisikokan nyawa rakyat tidak bersalah.
Menerusi perbincangan, BRN mempunyai ruang untuk menyuarakan hasrat dan kehendak mereka secara langsung kepada Kerajaan Thailand.
“Mereka sepatutnya kembali berbincang untuk mencapai keamanan bersama, bincangkan apa yang mereka perlu dan mahukan. Perbincangan adalah jalan terbaik berbanding keganasan. Rakyat Thailand seharusnya boleh hidup bersama-sama secara aman.
“Masing-masing mempunyai hak bersuara dan perlu bertindak dengan cara yang betul bukan dengan cara yang salah,” katanya ketika ditemui di Kem Silintong, Mukim Kautum, Daerah Yarang, Wilayah Patani baru-baru ini.

Pertemuan bersama media itu diadakan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Jelas Noratip, keamanan dan keselamatan rakyat termasuk di kawasan Selatan Thailand merupakan keutamaan serta komitmen berterusan kerajaannya.
Malangnya, kata beliau, wujud kumpulan kecil yang mahukan sebaliknya.
“Saya dan rakyat ingin wujudkan keamanan tetapi sebahagian dari kumpulan (BRN) yang mempunyai jumlah tidak ramai enggan mewujudkan keamanan dalam kawasan.

“Mereka melakukan serangan keganasan supaya rakyat berada dalam keradaan ketakutan untuk menunjukkan pegawai kerajaan tidak ada mampu mentadbir. Inilah yang berlaku. Tetapi kita akan berusaha supaya perkara itu tidak dapat mereka lakukan.
“Kami sedang berusaha melakukan apa sahaja cara bagi mewujudkan keamanan agar masyarakat mempunyai keyakinan pegawai kerajaan mampu menjaga keselamatan mereka di kawasan tiga wilayah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya sedang berusaha mengadakan pertemuan dengan pemimpin agama dan tempatan di tiga wilayah selatan dalam masa terdekat.
Katanya, pemimpin-pemimpin berkenaan sepatutnya memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat di Selatan Thailand dapat hidup aman walaupun berbeza agama.
“Bulan berikutnya, kami merancang untuk mengadakan perjumpaan bersama semua ketua jabatan di setiap wilayah serta pemimpin agama termasuk penggawa dan ketua kampung yang berkhidmat di kawasan masing-masing,” jelasnya.

Terdahulu Noratip berkata, terdapat kumpulan kecil yang mempunyai ideologi salah terhadap Kerajaan Thailand sehingga bertindak di luar kawalan dan mencetuskan keganasan.
“Ada kumpulan kecil yang cuba mewujudkan suasana kacau-bilau di kawasan tertentu. Mereka menggunakan serangan keganasan bagi menimbulkan ketakutan rakyat supaya kerajaan dilihat tidak berupaya mengurus kawasan tersebut. Kumpulan ini mempunyai fahaman yang salah dan tidak benar,” katanya.
Beliau juga tidak menolak terdapat sebahagian pusat pengajian pondok yang menyalahgunakan institusi masing-masing untuk menyebarkan fahaman songsang kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, katanya, perbincangan turut diadakan bersama Kementerian Pelajaran bagi memastikan institusi pendidikan tidak disalahgunakan untuk menyebarkan kefahaman melampau.
“Masih ada penyebaran fahaman yang salah di setengah pusat pengajian pondok kepada kanak-kanak dan pelajar.
“Kami telah mengadakan perbincangan dengan pegawai kementerian pelajaran dan kini dalam peringkat membincangkan pelan perubahan kurikulum,” katanya.
Kerajaan Thailand mahu rakyat hidup aman
Bukan sekadar keamanan, Noratip berkata, Kerajaan Thailand mahu rakyat keseluruhannya khususnya di selatan bukan sekadar dapat hidup aman tetapi juga mempunyai peluang pekerjaan tanpa mengira agama.
Tambahnya, penguatkuasaan undang-undang juga perlu dilaksanakan sejajar dengan dasar bagi menangani jenayah rentas sempadan khususnya dadah.
“Kita mahu menjaga dan melindungi seluruh rakayat dari warga Thai Bhuda dan Thai Mulim supaya dapat menikmati suasana selamat
“Bagi jangka panjang, harapan dan hasrat kerajaan untuk menjadikan kawasan 3 Wilayah Sempadan Selatan Thailand sebagai kawasan yang aman, rakyat dapat melakukan pekerjaan dan tidur dengan nyenyak, sama ada penganut Buddha mahupun Muslim.
“Lantaran itu, untuk jangka pendek, kita terpaksa menguatkuasakan undang-undang – mereka yang melakukan kesalahan mesti mendapat hukuman.
“Manakala, orang biasa mesti mendapat galakan dalam pembangunan dan pekerjaan agar mereka dapat menjalani kehidupan harian,” katanya. – MalaysiaGazette
















