SHAH ALAM – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mendedahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan satu taklimat khas kepada menteri-menteri Kabinet pada Selasa ini.
Situasi itu menguatkan lagi desas-desus kemungkinan berlaku rombakan Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan yang semakin hangat diperkatakan ketika ini.
Spekulasi tersebut semakin diperkukuh susulan tamatnya tempoh pelantikan dua orang senator yang turut memegang jawatan menteri Kabinet selain peletakan jawatan seorang lagi menteri baru-baru ini.
Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau setakat ini hanya mengetahui isu rombakan Kabinet melalui laporan media.
“Tetapi pada hari Selasa ini akan ada mesyuarat Kabinet di mana kita akan mendengar taklimat daripada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Nasional Amanah di sini hari ini.
Mohamad turut menepis kebimbangan sebarang rombakan Kabinet akan menjejaskan persiapan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.
Rombakan Kabinet menjadi topik hangat susulan peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala tempoh pelantikan Senator bagi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka tamat pada Disember ini.
Selain itu baru-baru ini Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli juga meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekomomi manakala Nik Nazmi Nik Ahmad juga melepaskan jawatan sebagai MenteriMenteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam. – MalaysiaGazette
















