Program ini dihadiri lebih 240 orang termasuk pimpinan, jentera dan anggota Keadilan bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu serta menggerakkan semula jentera parti sebagai persiapan menghadapi PRU.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan kesediaan untuk menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang menerusi tema perjuangan baharu bertajuk ‘Keadilan Sedia Tawan Hulu Kelang’.

Bendahari PKR Gombak, Datuk Zainol Abidin berkata, jentera parti kini digerakkan semula selepas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Perikatan Nasional) dilihat semakin jauh daripada rakyat dan terlalu sibuk dengan percaturan politik dalaman Bersatu.

“Azmin terlalu fokus pada politik Bersatu hingga lupa tanggungjawab kepada rakyat Hulu Kelang.

“Sudah tiba masanya rakyat diberi pilihan baharu wakil yang benar-benar berkhidmat bukan yang hanya memikirkan strategi politik diri sendiri,” katanya ketika berucap pada Program Memperkenalkan Pimpinan Baharu Keadilan Gombak di sini malam tadi.

Program tersebut dihadiri lebih 240 orang termasuk pimpinan, jentera dan anggota Keadilan bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan baharu serta menggerakkan semula jentera parti sebagai persiapan menghadapi PRU.

“Kita juga menghargai jentera dan aktivis yang kekal setia sejak awal perjuangan. Hulu Kelang bukan sekadar kawasan biasa, ia kubu asal KEADILAN sejak 1999 dan merupakan kerusi pertama yang dimenangi parti ini,” ujarnya.

Menurut Zainol, semangat reformasi yang pernah membakar perjuangan Hulu Kelang akan dihidupkan kembali oleh generasi lama dan baharu Keadilan untuk memastikan kerusi itu kembali ke pangkuan parti.

“Kita bertekad menawan semula Hulu Kelang. Rakyat mahukan wakil yang memberi fokus kepada kebajikan, pembangunan dan kesejahteraan masyarakat, bukannya pemimpin yang hanya sibuk mencatur kedudukan,” tegasnya.

Beliau berkata tumpuan kini diberikan kepada usaha memperkukuh struktur jentera di semua peringkat, mempererat muafakat dalam kalangan anggota, menyantuni rakyat melalui pelbagai aktiviti komuniti serta memastikan penduduk mendapat maklumat sahih daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

“Tema kita bukan sekadar slogan, tetapi tekad kami untuk mengembalikan keyakinan rakyat. Kami akan terus bekerja keras di lapangan demi memastikan suara Hulu Kelang kembali bergema di Dewan Undangan Negeri,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast