Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani melawat reruai selepas merasmikan Malaysian Wood Expo (MWE) 2025 di MITEC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menepis khabar angin kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

Menurut Johari, setakat ini tiada sebarang perbincangan atau taklimat rasmi berkaitan perkara tersebut diadakan dalam mesyuarat Kabinet.

“Saya rasa tak adalah. Mana ada? Reshuffle (rombakan) semua. Perdana Menteri dia prerogratiflah. Dia punya kuasa mutlak untuk buat apa-apa.

“Kalau mesyuarat, tak ada. Dia tak bincang pasal tu. Kalau dia betul, taklimat. Saya tak rasa begitu. Tapi pasal ni tak ada lagilah tau. Tak ada apa-apa reshuffle setakat ini,” katanya kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Expo Perkayuan 2025 di sini hari ini.

Semalam, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mendedahkan Perdana Menteri dijangka mengadakan satu taklimat khas kepada menteri-menteri Kabinet pada esok.

Situasi itu menguatkan lagi desas-desus kemungkinan berlaku rombakan Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan yang semakin hangat diperkatakan ketika ini.

Spekulasi tersebut semakin diperkukuh susulan tamatnya tempoh pelantikan dua orang senator yang turut memegang jawatan menteri Kabinet selain peletakan jawatan seorang lagi menteri baru-baru ini.

Mohamad berkata, setakat ini beliau hanya mengetahui isu rombakan Kabinet melalui laporan media.

Rombakan Kabinet menjadi topik hangat susulan peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala tempoh pelantikan Senator bagi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka tamat pada Disember ini.

Selain itu baru-baru ini Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli juga meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekomomi manakala Nik Nazmi Nik Ahmad juga melepaskan jawatan sebagai MenteriMenteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast