Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bergambar selepas gimik pelancaran majlis Innovathon Musim Ke-3 di MATIC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Jumlah penyertaan program Innovathon pada tahun ini sebanyak 2,032 berbanding 1,003 pada tahun 2024 iaitu peningkatan lebih daripada 100 peratus, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, senario itu membuktikan rakyat Malaysia semakin berani tampil ke hadapan untuk memperagakan produk-produk inovasi keluaran tempatan yang bermutu tinggi, berkualiti dan mempunyai impak yang besar kepada masyarakat.

Menurutnya, Kementerian Ekonomi telah meningkatkan nilai hadiah keseluruhan bagi Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan daripada RM1.0 juta kepada RM1.65 juta pada tahun ini.

“Peningkatan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengukuhkan semangat daya cipta selaras dengan salah satu keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Ia bagi meningkatkan kerencaman ekonomi melalui strategi Pemantapan Ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I),” katanya pada sidang majlis sidang media Innovathon musim ketiga di sini hari ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bercakap kepada media selepas hadir ke majlis Innovathon Musim Ke-3 di MATIC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 NOVEMBER 2025.

Amir Hamzah menambah, objektif program itu adalah untuk membudayakan inovasi di seluruh negara dengan memikat pelbagai lapisan masyarakat untuk menceburi dan menghargai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, ia juga bagi meningkatkan pelaburan sektor swasta dalam aktiviti inovasi melalui sokongan terhadap syarikat pemula dan melonjakkan jumlah pendaftaran harta intelek daripada pereka cipta Malaysia.

Sementara itu, Innovathon musim baharu ini masih mengekalkan kerjasama antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Antara kelainan yang ditampilkan dalam kali ini ialah pelaksanaan uji bakat secara bersasar di lima lokasi terpilih iaitu di Cradle Fund Sdn Bhd, National Institute of Health, Universiti Teknologi Mara, Melaka, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu dan Universiti Putra Malaysia.

Pemilihan uji bakat bersasar ini mengambil kira potensi dan minat yang tinggi dalam bidang inovasi dalam kalangan agensi dan institut pengajian tinggi awam berkenaan manakala sesi uji bakat terbuka pula telah dilaksanakan bermula pada 10 Jun sehingga 5 Ogos lalu di enam zon di seluruh Malaysia.

Tayangan Innovathon sebanyak lapan episod akan bermula pada 6 Disember ini sehingga 25 Januari 2026 di mana juara akan menerima wang tunai RM100,000 dan dana sokongan perniagan bernilai RM500,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast