PUTRAJAYA – Majlis Amanah Mara (MARA) diberikan tempoh enam bulan untuk memuktamadkan proses penambahbaikan pindaan Akta MARA 1966 (Akta 489).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tempoh itu diberikan bagi memastikan MARA dapat memastikan proses penambahbaikan termasuk aspek kewangan, pinjaman dan pengauditan dapat dilaksanakan.
“Untuk MARA, saya menunggu tempoh enam bulan untuk mereka mempersiapkan pindaan akta ini kerana kita dapati peraturan-peraturan yang ada terutamanya dari segi pengurusan kewangan, pinjaman dan juga pengauditan akan disatukan di bawah satu bumbung.
“Kita merasakan MARA mesti diuruskan dengan terbaik. Ia mesti kembali kepada core business yang terdahulu yang bertepatan dengan tujuan MARA itu diwujudkan,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menegaskan, pindaan itu penting untuk memastikan MARA kembali kepada objektif asal penubuhannya, sekali gus memperbetulkan kelemahan tadbir urus terdahulu.
Ahmad Zahid turut menekankan MARA kini memiliki aset melebihi RM23 bilion dan pengurusan lebih tegas dan cekap perlu dilaksanakan termasuk memastikan kadar kutipan balik pinjaman ditingkatkan.
“Oleh kerana aset MARA bernilai lebih RM23 bilion, ia mesti diuruskan dengan baik. Pinjaman yang telah diberikan sama ada dalam bentuk pendidikan atau perusahaan mesti diperoleh semula dan kita mesti meminimumkan kegagalan.
“Kita sudah berada lebih 40 tahun, kita mesti belajar daripada kesilapan terdahulu, memperbaikinya dan berada lebih baik daripada sebelum ini,” katanya lagi.
Beliau berkata, reformasi itu juga bertujuan meyakinkan kerajaan dan rakyat bahawa MARA sedang berada di landasan pemulihan yang kukuh dan mampan.
“Yang penting, kita mesti membuktikan kepada kerajaan sekarang dan rakyat seluruhnya bahawa MARA berada di landasan yang betul.
“MARA berada di satu tahap di mana satu hari nanti dengan aset yang ada, pelaburan yang telah dilakukan dan keuntungan yang akan diperoleh, MARA akan dapat berdiri di kaki sendiri untuk membiayai semua aktivitinya,” jelasnya lagi.
Ahmad Zahid turut mengulas mengenai Kertas Pindaan Akta JAKOA 1954 dalam mesyuarat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri yang kini pada peringkat akhir.
Beliau berkata, menerusi akta yang akan dipinda itu, KKDW ingin melihat JAKOA mampu berjalan lebih jauh ke hadapan kerana melibatkan pembelaan kepada komuniti orang asli negara ini.
“Paling penting ialah kesetujuan daripada Kerajaan-kerajaan Negeri kerana ianya melibatkan soal-soal tanah dan juga soal-soal yang terkait dengan pindaan kuasa kerajaan Negeri di peringkat kementerian dan juga di peringkat Jambatan Orang Asli.
“Ianya telah dapat diselesaikan malah saya telah bawa ke persidangan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri baru-baru ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















