KUALA LUMPUR – Inisiatif Pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah disasarkan menyumbang RM24.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setiap tahun selain menarik purata RM12.5 bilion pelaburan yang diluluskan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif yang menyepadukan kekuatan Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka dijangka mewujudkan 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun.
Menurutnya, ekosistem industri negara melalui rantaian bekalan lebih mendalam, peningkatan produktiviti serta pembangunan perusahaan tempatan bakal diperkukuhkan agar mampu bersaing di peringkat global sebagai hab industri serantau.
“Wilayah Tengah memiliki rangkaian kukuh pembekal, logistik, makmal ujian, institusi pengajian tinggi dan rakan inovasi, namun usaha kini tertumpu kepada menghubungkan semua aset itu, menutup jurang kritikal dan memastikan sokongan kerajaan memberi hasil yang jelas.
“Kita mahu melihat lebih ramai vendor berkualiti, pelaburan yang lebih pantas diluluskan, penerimagunaan teknologi yang lebih meluas serta penjajaran lebih baik antara bakat dan keperluan industri,” katanya berucap pada Seminar Pelaburan Flagship: Inisiatif Pembangunan Kluster Industri di Wilayah Tengah di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Besar Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Seminar dua hari bermula hari ini menghimpunkan lebih 800 pemimpin industri, pembuat dasar, komuniti perniagaan dan pelabur di bawah tema ‘Menginovasi Industri, Menghubungkan Pasaran’.
Turut diadakan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menambah, pembangunan kluster Wilayah Tengah akan memberi tumpuan awal kepada sektor yang mempunyai kelebihan sedia ada di Malaysia dan berpotensi untuk berkembang cepat, seperti elektrik dan elektronik (E&E), farmaseutikal dan produk perubatan serta pemprosesan makanan dan ekonomi halal.
“Koridor KLIA–Subang–Serendah adalah contoh terbaik pengelompokan industri atau ‘clustering’ boleh mempercepatkan pertumbuhan.
“Dengan jarak hanya 50 kilometer, komponen dapat digerakkan dengan lebih cepat, pembangunan bakat dipertingkat dan perkongsian idea berlaku dengan lebih pantas, sekali gus mengurangkan masa pengeluaran dan risiko perniagaan,” katanya.
Tengku Zafrul memberitahu, elemen sokongan pelbagai guna seperti kejuruteraan ketepatan, automasi, metrologi dan sains bahan turut meningkatkan produktiviti bukan sahaja dalam aeroangkasa, tetapi juga dalam kluster E&E, farmaseutikal dan makanan. – MalaysiaGazette

















