KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah berhubung pemberian khas 40 peratus kepada negeri itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan bersejarah itu menunjukkan bahawa Anwar sangat memahami aspirasi serta harapan rakyat Sabah yang telah menunggu hak tersebut dipenuhi sejak sekian lama.
Menurut beliau, pendirian kerajaan Persekutuan itu turut mencerminkan komitmen tulen untuk menegakkan perkara yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam pertemuan dan perbincangan saya dengan Perdana Menteri, saya telah menyatakan pendirian tegas Kerajaan Negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.
“Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini mencerminkan hubungan kerja yang kukuh antara Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan kerajaan mengambil pendekatan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan itu jelas AGC dibuat selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri diadakan hari ini bagi membincangkan penghakiman mahkamah berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Hajiji menambah, langkah kerajaan yang menghormati keputusan mahkamah merupakan langkah penting dalam merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar yang masih ketinggalan dari segi kemudahan asas, pertanian dan infrastruktur.
Katanya, rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu hak tersebut dipulihkan seperti termaktub dalam perjanjian dan perlembagaan negara sejak pembentukan Malaysia.
“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Apa yang diperlukan kini ialah tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan serta melaksanakan hak 40 peratus itu,” ujarnya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersedia untuk terus berunding secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan arahan mahkamah untuk menyemak dan memuktamadkan perjanjian tersebut.
Hajiji menyeru rakyat Sabah agar terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri dalam memastikan hak negeri itu dihormati dan dilaksanakan seperti yang dipersetujui. – MalaysiaGazette
















