KUALA LUMPUR – “Inspektor Sheila’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menghalang anggota polis bertugas di Jalan Sultan Azlan Shah di sini pada 4 November lalu.
Pegawai polis yang digantung tugas itu, Sheila Sharon Steven Kumar, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aina Azahra Arifin hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam iaitu anggota polis di Balai Polis Chow Kit, Lans Kopral Malvinderjit Singh Teerath Singh, 37, dalam fungsi awam sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan restoran Qazi, di Jalan Sultan Azlaan Shah dalam kawasan Dang Wangi sekitar 8.15 hingga 8.30 malam pada 4 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau didenda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 kepada Sheila namun peguam mewakili tertuduh, M Manoharan memohon jaminan yang rendah atas alasan berikut.
“Saya bantah jaminan tersebut terlalu tinggi dan mohon jaminan rendah sebanyak RM500 kerana tertuduh masih seorang anggota polis yang sudah berkhidmat selama sembilan tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Turut hadir penjamin iaitu ayahnya berusia 70 tahun seorang bekas pegawai polis berpangkat Asisten Superitendan (ASP) dan juga pesara PDRM malah perlu menanggung tujuh orang anak.
“Malah anak guam saya juga berdepan tiga pertuduhan sebelum ini dan memberi kerjasama penuh kepada pihak mahkamah tanpa gagal kehadirannya.,” jelasnya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Majistret Aina Azahra memutuskan jaminan sebanyak RM6,600 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan.
Mahkamah juga menetapkan 20 Janunari 2026 sebagai sebutan semula kes.
Terdahulu, Sheila yang berpakaian merah jambu putih dan memakai skirt dan tangannya bergari tiba di mahkamah dengan diiringi anggota polis dilihat tersenyum pada wakil media di kawasan mahkamah.
Namun tiba-tiba suaranya bertukar menjadi tegas apabila menyedari wajahnya dirakam dan sempat berkata pihak media tidak boleh mengambil gambarnya tanpa kebenaran.\

Sebelum ini, dalam kejadian 9.30 malam tular wanita terbabit di media sosial memperlekeh dan mendakwa anggota polis bertugas mengugut lelaki warga Pakistan yang menunggang motosikal tanpa lesen.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, anggota polis itu kemudian membuat laporan polis sebelum kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Beliau juga memaklumkan, ‘Inspektor Sheila; telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berhubung beberapa kes lampau termasuk menghina anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas. – MalaysiaGazette
















