KUALA LUMPUR – Kertas siasatan terhadap pengarah dan penyanyi kontroversi, Namewee susulan kematian pempengaruh wanita warga Taiwan sudah diserahkan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kertas siasatan sudah diserahkan hari ini bagi tindakan lanjut terhadap Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee.
“Kita sudah menyerahkan kertas siasatan kes ini untuk dirujuk kepada pejabat TPR hari ini dan masih menunggu arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan secara ringkas hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Namawee dipercayai ada ‘hubungan istimewa’ dengan pempengaruh wanita warga Taiwan yang ditemui maut dalam bilik sebuah hotel pada bulan lalu.
Fadil dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati Namewee dipercayai bersama wanita itu sejak dari luar negara hingga kejadian berlaku di Malaysia.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa termasuk ujian toksikologi bagi tindakan lanjut.
Setakat ini katanya, siasatan adalah positif dan Namewee juga memberikan kerjasama bagi membantu siasatan yang dijalankan.
Sebelum ini, reman terhadap Namewee, 42, disambung tiga hari lagi hingga 13 November ini bagi membantu siasatan kes kematian pempengaruh wanita berusia 31 tahun itu.
Namewee dilaporkan tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan kes mangsa dikenali sebagai Hsieh Yun Hsi ditemui maut pada 22 Oktober lalu. – MalaysiaGazette
















