KUALA LUMPUR – Pengarah dan penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih kenali Namewee,42, akan dilepaskan dengan jaminan polis esok susula kes kematian pempengaruh wanita Taiwan di hotel di ibu negara baru-baru ini.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki berkata, ia selepas tiada bukti setakat ini yang menunjukkan suspek terbabit dan arahan itu telah diberikan supaya siasatan lanjut dijalankan berhubung kes berkenaan.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat penemuan baharu hasil siasatan lanjut itu, Jabatan Peguam negara akan mengambil indakan sewajarnya.
“Arahan telah diberikan dan setakat ini tiada bukti yang boleh menunjukkan dia terlibat dalam kematian wanita itu,“ katanya ketika dihubungi sebuah portal berita, hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, polis telah melengkapkan siasatan terhadap Namewee berhubung kes kematian seorang pempengaruh wanita itu.
Menurutnya, kertas siasatan kes terbabit telah diserahkan kepada penjabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini, dan masih menunggu arahan lanjut.
Sebelum ini, Namewee disambung reman tiga hari hingga esok selepas reman pada 5 November lepas berakhir pada Isnin.
Mangsa Hsieh Yun Hsin, 33, ditemukan mati di dalam tab mandi di bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, dekat sini pada 22 Oktober lepas sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Pada awalnnya, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), kini disiasat semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















