KUALA LUMPUR – Kerja baik pulih di tiga sekolah di Perlis dan Selangor yang terjejas akibat kebakaran semalam dan hari ini akan dilakukan pada kadar segera.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), tindakan segera telah diambil untuk menyiasat punca kejadian dan melakukan penilaian kerosakan terhadap infrastruktur sekolah yang terjejas.
“Kerja baik pulih akan dilaksanakan segera,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semalam, lapan bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit, Padang Besar, Perlis musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran.
Pada hari ini, ruang simpanan peralatan sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga Bangi, Bandar Bangi Bangi musnah dalam satu kebakaran manakala bilik guru di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Sungai Lang, Sabak Bernam mengalami kebakaran kecil pada pagi tadi..
Berikutan itu, kementerian tersebut mengingatkan semua pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk memastikan fasiliti sekolah berada
dalam keadaan selamat.
Katanya, aspek keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah perlu diberi keutamaan. – MalaysiaGazette
















