PUTRAJAYA – Negara berdepan risiko tinggi akibat fenomena La Nina, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kepada Jemaah Menteri.
Lantaran itu, kerajaan sudahpun menggerakkan jentera sebagai persiapan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula semalam.
Menurutnya, berdasarkan laporan yang dibentangkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti 3,682 lokasi hotspot banjir di seluruh negara yang akan menjadi fokus utama persiapan.
“Di bawah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), sebanyak 254 jerun kritikal telah dikenal pasti bagi tujuan pemantauan rapi, khususnya melibatkan risiko tanah runtuh.
“Dalam masa sama, persiapan teknikal turut dipertingkatkan melibatkan 1,768 stesen hidrologi yang telah siap diselenggara, 614 unit siren amaran banjir yang sedia diaktifkan, 285 rumah pam disiapkan serta penambahan pam bergerak bagi menghadapi sebarang kemungkinan limpahan air,” katanya pada sidang mingguan di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan turut mengenal pasti sejumlah empangan berisiko tinggi yang mana tindakan intervensi akan diambil sekiranya paras air melepasi tahap kritikal bagi memastikan keselamatan penduduk berhampiran.
Sementara itu Fahmi berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diaktifkan dan bersiap sedia di bawah Ops Murni, iaitu operasi khas bagi membantu pengurusan bencana Monsun Timur Laut.
Ujarnya, kerajaan menegaskan kesiapsiagaan semua agensi adalah keutamaan bagi memastikan keselamatan rakyat dan keberkesanan operasi serta tindak balas sepanjang musim tengkujuh.
Terdahulu hari ini, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang dipetik berkata, MTL yang bermula semalam dijangka berterusan hingga Mac tahun depan dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang menjadi negeri terawal diramal mengalami hujan lebat berterusan.
Katanya, monsun yang bergerak dari utara ke selatan itu lazimnya memberikan kesan awal kepada tiga negeri berkenaan bermula November hingga Disember, sebelum menjangkaui Pahang dan Johor pada fasa seterusnya.
Tambahnya, pemantauan dilakukan secara berterusan melalui imej satelit selang 10 minit selain 19 radar cuaca di seluruh negara bagi mengesan pembentukan awan hujan serta luruan monsun yang menjadi faktor utama taburan hujan lebat. – MalaysiaGazette
















