KUALA LUMPUR – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) , Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menzahirkan kesyukuran apabila proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai dengan lancar hari ini.
Menurut beliau, Warisan tampil dengan iltizam penuh apabila bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam usaha memastikan masa depan Sabah terus terpelihara.
“Hari ini, Warisan berdiri teguh bertanding di semua 73 kerusi demi masa depan Sabah,” katanya.
Shafie berkata, sebanyak 596 calon memasuki gelanggang PRN kali ini, namun fokus Warisan jelas dan tidak berubah dengan menampilkan tanda pagar #SelamatkanSabah.
“Ramai yang bertanding tetapi bagi kita, hanya satu yang penting. Membela rakyat dan mempertahankan hak negeri kita,” tegasnya.
Beliau turut menyifatkan semangat keluarga besar Warisan di seluruh Sabah sebagai luar biasa, sekali gus menggambarkan kekuatan sokongan akar umbi terhadap perjuangan parti itu.
“Api perjuangan kita menyala bukan dengan kata-kata tetapi dengan keyakinan bahawa Sabah mesti dipimpin dengan integriti, keberanian dan hati untuk rakyat,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Shafie menyeru seluruh jentera dan penyokong parti supaya menggandakan usaha sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian pada 29 November ini.
“Mulai saat ini hingga 29 November marilah kita melangkah bersama. Bergabung bersama rakyat untuk Selamatkan Sabah. Warisan sentiasa di hadapan untuk rakyat,” katanya.
Untuk rekod, Warisan merupakan satu-satunya parti yang bertanding di semua kerusi DUN pada PRN Sabah kali ini.
Parti lain yang meletakan claon adalah Parti Impian Sabah (72 calon), Gabungan Rakyat Sanah (GRS) 55 calon, STAR Sabah (46 calon) dan Barisan Nasional (45 calon).
Perikatan Nasional pula menghantar 42 calon, manakala Parti Kesejahteraan Demoktratik (KDM) serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) masing-masing menghantar 40 dan 25 calon, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 22 calon. – MalaysiaGazette

















Ini orang dengar dia punya tembirang masa kempen kan, sedap bah. Hampir aku mahu percaya suda. Tapi ya lah, tembirang saja.