KUALA LUMPUR – Pengendali laman sosial Facebook berasaskan kesihatan, Public Health Malaysia (PHM) menggesa orang ramai melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran sekiranya mempunyai maklumat berkenaan tindakan peniaga mencampurkan plastik pembungkus minyak terus ke dalam kuali gorengan.
Menyifatkan perbuatan itu satu pengkhianatan besar kepada pelanggan, PHM menegaskan, laporan kepada Pejabat Kesihatan Daerah tersebut supaya siasatan dan tindakan lanjut dapat diambil.
Menjelaskan lebih lanjut, katanya, apabila plastik pembungkus minyak dicelup terus ke dalam kuali panas, tindak balas kimia yang berlaku sebenarnya jauh lebih serius daripada sekadar ‘plastik cair’.
Pada suhu itu, ujarnya, rantaian polimer yang membentuk plastik akan pecah menjadi molekul-molekul kecil seperti alkanes, alkenes, aldehydes dan ketones.
Semua bahan itu akan larut ke dalam minyak sebelum akhirnya melekat pada makanan yang sedang digoreng.
“Pada masa yang sama, bahan pelunak plastik seperti phthalates atau adipates mula terlepas daripada permukaan plastik akibat haba tinggi.
“Bahan-bahan ini dikenali sebagai “endocrine disruptors” kerana ia boleh mengganggu sistem hormon apabila masuk ke dalam tubuh manusia.
“Selain itu, apabila plastik terurai dalam minyak panas, ia tidak hancur sepenuhnya. Ia pecah menjadi serpihan kecil yang dipanggil microplastics.
“Serpihan-serpihan ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi boleh masuk ke dalam makanan, akhirnya terkumpul dalam usus, darah dan organ manusia,” katanya.
Terdahulu, tular tindakan peniaga yang didakwa memasukkan dan mencairkan plastik minyak masak dalam kuali gorengan sehingga mencetuskan perdebatan di dalam media sosial.
Tambah PHM, minyak panas yang bercampur plastik juga boleh menghasilkan radikal bebas, hidrokarbon aromatik serta bahan toksik baharu yang meningkatkan risiko keradangan, penyakit hati dan masalah kesihatan jangka panjang.
“Kesimpulannya, apabila plastik masuk ke dalam minyak panas, ia berubah menjadi campuran bahan kimia berbahaya yang meresap ke dalam makanan.
“Walaupun kita tidak nampak, tubuh kita tetap menerima kesannya sedikit demi sedikit setiap kali makanan itu dimakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















