MENURUT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, 2024) golongan berusia 80 tahun ke atas dijangka meningkat tiga kali ganda kepada 426 juta. Jangka hayat global semakin meningkat, membolehkan majoriti individu hidup melebihi usia 60 tahun, sekali gus meningkatkan bilangan dan peratusan warga emas.
Malah, menjelang 2030, satu daripada setiap enam
individu di seluruh dunia akan berusia 60 tahun atau lebih, meningkat daripada 1 bilion pada 2020 kepada 1.4 bilion, dan dijangka mencapai 2.1 bilion menjelang 2050. Laporan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan Malaysia tidak terkecuali dan dijangka memasuki fasa negara tua menjelang 2030, apabila 15 peratus penduduknya mencapai usia 60 tahun.
Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia juga menunjukkan bahawa 3.9 juta rakyat berusia 60 tahun ke atas, iaitu 11.8 peratus daripada populasi. Warga emas berumur 65 tahun ke atas pula berjumlah 2.6 juta atau 7.7 peratus, menempatkan Malaysia dalam kategori negara menua.
Laporan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan hanya 36% ahli aktif formal mencapai Simpanan Asas RM240,000 pada usia 55 tahun, jumlah minimum untuk menampung keperluan asas sepanjang 20 tahun persaraan. Hasil daripada Tinjauan Agenda Strategik Persaraan oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) mendapati masyarakat masih kurang cakna terhadap kepentingan tabung persaraan. Di antara faktor kegagalan menabung secara tetap disebabkan oleh perbelanjaan asas, pembayaran balik hutang, dan kos pendidikan anak-anak.
Ancaman kepada warga emas
Hal ini berlaku akibat rentetan peningkatan jangka hayat rakyat dan penurunan kadar kelahiran yang semakin meruncing. Fenomena ini menimbulkan impak besar terhadap struktur keluarga, ekonomi, dan dasar sosial negara. Warga emas Malaysia menghadapi cabaran seperti simpanan persaraan yang tidak mencukupi, risiko kemiskinan yang meningkat, serta pengabaian daripada keluarga, yang menjejaskan kesejahteraan mereka dan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara maju mesra warga emas.
Persoalan yang lebih kritikal, adakah kita benar-benar bersedia menghadapi realiti ini? Bank Negara Malaysia melaporkan kadar inflasi negara kekal sederhana pada 2.5 peratus pada 2025, namun golongan berpendapatan rendah dan pesara masih terkesan dengan kenaikan kos barangan asas. Keadaan ekonomi semasa turut memberi impak kepada pekerja sendiri serta mereka yang berkhidmat dalam ekonomi gig. Walaupun menyeronokkan dan memberi pendapatan sendiri, sering menimbulkan persoalan tentang simpanan masa hadapan. Adakah simpanan itu mencukupi untuk menampung perbelanjaan sepanjang hari tua?
Situasi ini menggambarkan kebimbangan masyarakat terutamanya warga emas akibat inflasi serta kenaikan kos makanan, sewa rumah dan penjagaan kesihatan. Jika tidak dikawal, golongan yang bergaji harian dan tiada pendapatan tetap berisiko menjadi gelandangan yang memberi kesan bukan hanya kepada individu, tetapi juga memberi impak besar kepada kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi negara.
Literasi kewangan: Asas perancangan hari tua
Di tengah kekangan ekonomi semasa, literasi kewangan memainkan peranan kritikal dalam memastikan rakyat bersedia menghadapi fasa persaraan. Tahap literasi kewangan yang rendah menyebabkan ramai hanya bergantung kepada KWSP sebagai sumber tunggal, memulakan simpanan terlalu lewat atau gagal menghitung keperluan pendapatan selepas bersara. Sedangkan, pakar kewangan mencadangkan individu mempunyai income replacement rate sekurang-kurangnya 60–70% daripada gaji akhir bagi mengekalkan gaya hidup asas.
Pendidikan kewangan melalui sekolah, majikan, komuniti, badan NGO dan institusi kerajaan diharapkan dapat membantu individu:
a) merancang bajet dan simpanan persaraan lebih awal
b) memilih instrumen pelaburan yang sesuai seperti Private Retirement Scheme (PRS),
amanah saham atau aset perlindungan inflasi
c) memahami risiko inflasi terhadap nilai wang
d) melangsaikan hutang sebelum bersara
e) mengurus pencen atau pengeluaran KWSP secara berhemah
Oleh hal demikian, National Strategy for Financial Literacy 2026-2030 (NS2.0) dilancarkan dengan tema “Membentuk Masa Depan Kewangan yang Berdaya Tahan”, yang menggariskan lima keutamaan strategik yang direka untuk menyokong rakyat Malaysia dalam mengurus hal ehwal kewangan pada setiap peringkat kehidupan. Pada asasnya, fokus utama NS2.0 adalah membantu keluarga merancang persaraan, melindungi isi rumah daripada kejutan kewangan yang tidak dijangka, hinggalah membina keyakinan dalam aktiviti menabung dan melabur untuk masa hadapan.
Bagi mencapai matlamat ini, antara inisiatif utama yang digariskan adalah menyediakan sokongan yang lebih baik kepada isi rumah berpendapatan rendah dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, termasuk perkhidmatan nasihat kewangan yang disesuaikan dengan keperluan mereka. Selain itu, meningkatkan literasi kewangan digital supaya rakyat Malaysia dapat menggunakan platform dalam talian dan alat kewangan digital dengan selamat dan bijak.
Solusi krisis kewangan
Masyarakat perlu dididik tentang pengurusan kewangan dan kepentingan menabung awal, terutamanya golongan berpendapatan rendah di mana simpanan peribadi dapat menjamin kehidupan lebih selesa di hari tua. Antara solusinya adalah mulakan perancangan simpanan hari tua sekarang dengan mencarum melalui i-Saraan iaitu inisiatif caruman sukarela KWSP
untuk membantu golongan bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap, termasuk pekerja ekonomi gig, membina simpanan persaraan sendiri.
KWSP perlu mengekalkan larangan pengeluaran penuh pada usia 55 tahun kecuali dalam keadaan benar-benar perlu,
mewajibkan pembukaan akaun KWSP selepas mencapai usia tertentu, serta menyediakan bayaran bulanan kepada pencarum seperti skim pencen kerajaan. Malaysia hendaklah mengamalkan dasar persaraan fleksibel kerana sesetengah individu
ingin terus bekerja, sama ada untuk menyumbang atau memperoleh pendapatan tambahan.
Hal ini kerana umur akses pengeluaran KWSP pada 55 tahun dianggap terlalu rendah. Justeru, penetapan umur akses antara 65 dan 70 tahun lebih sejajar dengan demografi Malaysia bagi mengekalkan kemampanan sistem perlindungan sosial selaras dengan peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia. Malah, tambahan perancangan persaraan digalakkan seperti menambah simpanan dalam Private Retirement Scheme (PRS), melabur dalam aset pelindung inflasi seperti emas, amanah saham dan hartanah sewaan.
Di samping itu, pemilikan insurans jangka panjang amat penting bagi memenuhi keperluan penjagaan warga tua secara berterusan, dengan kerjasama kerajaan, NGO, dan majikan. Gabungan ketiga-tiga pihak ini memastikan warga tua mendapat sokongan kewangan, sosial, dan penjagaan kesihatan yang mencukupi. Tanpa kerjasama ini, inisiatif tunggal
daripada salah satu pihak sahaja tidak cukup untuk menangani masalah persaraan, kos sara hidup, dan risiko gelandangan.
Oleh yang demikian, di era pasca-pandemik warga emas di Malaysia harus menyesuaikan gaya hidup kewangan kerana nilai wang mudah susut dan cabaran dalam menghadapi proses perancangan simpanan hari tua. Solusi ini bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, majikan, institusi kewangan, komuniti, dan masyarakat perlu bekerjasama membentuk ekosistem yang menyokong rakyat menghadapi usia tua dengan lebih baik.

Oleh: Dr Nurul Labanihuda Abdull Rahman (kir)
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan
Perlis, Kampus Arau, 02600 Arau, Perlis &
Dr Fatin Syazwani Safiyuddin
Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
















