Kebakaran yang melibatkan tujuh buah rumah dan sebuah premis perniagaan di Kampung Wireless di Miri, Sarawak. -Sumber IPD Miri.

KUALA LUMPUR – Seramai 80 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas tujuh buah rumah dan sebuah premis perniagaan musnah dalam kebakaran di Kampung Wireless, Jalan Permaisuri, Miri, Sarawak tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa yang terlibat telah dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Miri bagi mendapatkan perlindungan sementara.

“Mangsa terdiri daripada 30 lelaki dewasa, 33 wanita dewasa, 10 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

“Dalam kejadian itu juga, seorang wanita warga emas yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dibawa ke Hospital Miri dan berada dalam keadaan stabil selepas mengalami sesak nafas akibat terhidu asap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Farhan, saksi kejadian memaklumkan kebakaran dipercayai bermula daripada sebuah rumah di Lot 151 sebelum merebak pantas ke tujuh rumah lain serta sebuah premis perniagaan barangan peralatan rumah terbabit.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan 5.30 petang daripada orang awam sebelum menggerakkan semua agensi ke lokasi kejadian.

Operasi pemadaman dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Lopeng, Balai Miri dan Balai Lutong yang melibatkan empat pegawai dan 30 anggota.

“Turut membantu di lokasi adalah pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan PBSM,” ujarnya

Menurut beliau, usaha pemadaman turut dibantu dari arah sungai oleh sebuah kapal milik Seng Heng Shipping bersama enam orang kru kapal tersebut.

Sehubungan itu, pihak bomba telah berjaya memadam sepenuhnya kebakaran itu yang dianggarkan mengambil masa kira-kira dua jam setengah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast