KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan menggunakan khidmat Pengamal Perubatan Am (GP) menyaring kesihatan khususnya bagi masalah kekurangan zat makanan.
Timbalan Menteri Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah itu bagi menangani masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Kami sedang mempertimbangkan untuk melantik GP melaksanakan beberapa perkhidmatan KKM.
“Contohnya, jika ibu bapa tidak dapat membawa anak mereka menjalani saringan atau pemeriksaan kesihatan pada waktu bekerja, mereka boleh membawa anak ke GP sebagai alternatif,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ujarnya, bukan sekadar nasihat dan saringan, inisiatif itu membolehkan KKM menyalurkan bantuan bakul makanan kepada yang memerlukan dari aspek zat makanan.
Selain itu, menurut beliau, kementerian itu juga dalam proses mendapatkan maklumat dan data ibu bapa yang tidak hadir melakukan saringan kesihatan pada waktu yang telah ditetapkan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Alias Razak (Perikatan Nasional) meminta KKM menyatakan perancangan untuk meluaskan bantuan makanan sihat kepada kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah kerana kos pelaksanaan program pemakanan sihat untuk kumpulan itu jauh lebih rendah.-MalaysiaGazette
















