KUALA LUMPUR – Dua individu ditangkap dalam operasi Ops Jaga Siri 17 yang dijalankan khusus untuk membanteras kegiatan penjaga parkir haram di kawasan tumpuan umum di ibu kota.
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataannya, penahanan tersebut dibuat hasil risikan berterusan selepas individu terbabit didapati mengarah serta menjaga kenderaan di parkir awam tanpa kebenaran yang sah.
“Hasil keputusan mahkamah mendapati seorang penjaga parkir haram di Jalan Sultan Ismail telah dijatuhi denda RM1,200 atau dua bulan penjara.
“Manakala keputusan muktamad menyaksikan pesalah dikenakan hukuman penjara dua bulan yang dibuat dengan serta merta tanpa tertangguh,” katanya.
Tambah DBKL, pesalah yang ditahan di Lorong Pudu 14 di sini juga turut dikenakan hukuman yang sama iaitu penjara dua bulan dengan serta merta tanpa tertangguh,
Jelasnya, operasi kali ini difokuskan di kawasan yang panas iaitu Jalan Sultan Ismail dan Lorong Pudu 14, Bukit Bintang.
DBKL menegaskan, kegiatan penjaga parkir tanpa kebenaran adala satu kesalahan yang berat dan operasi Ops Jaga akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan Kuala Lumpur bebas daripada aktiviti pemerasan. – MalaysiaGazette
















