KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menubuhkan Panel Inkuiri Dalaman telah ditubuhkan bagi meneliti ujaran-ujaran yang dibuat oleh Prof. Dr. Solehah @ Nik Najah Fadilah Yaacob.
Inkuiri ini akan dijalankan selaras dengan Peraturan-Peraturan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Katanya, panel ini terdiri daripada tiga orang ahli yang dipengerusikan oleh Timbalan Rektor (Akademik & Pengantarabangsaan), Prof. Datuk Dr. Ahmad Faris Ismail.
Dua lagi ahli panel ialah Prof. Dr. Zaid Ahmad, sejarawan berwibawa dari AbdulHamid AbuSulayman Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences (AHAS KIRKHS), UIAM; dan Prof. Dr. Hazizan Noon, Dekan, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), UIAM.
“Panel ini akan menjalankan penelitian yang menyeluruh, bebas dan selaras dengan terma rujukan yang ditetapkan dalam menilai isu-isu berkaitan integriti akademik.
“Dapatan serta syor yang dirumuskan oleh panel akan dikemukakan kepada Autoriti Tatatertib untuk pertimbangan dan tindakan lanjut, sekiranya ada,” tambahnya.
UIAM menegaskan ia komited untuk memastikan setiap proses inkuiri dijalankan dengan penuh berintegriti demi memelihara reputasi, kredibiliti dan amanah akademiknya.
Dr. Solehah menjadi perhatian selepas perkongsian video syarahan di saluran Youtube mendakwa teknik pembinaan kapal tamadun Rom zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu.
Dakwanya, kepakaran orang Melayu dalam bidang maritim dan pembinaan kapal telah bermula sejak era kerajaan Funan dan berkembang pesat di Alam Melayu, sebelum mempengaruhi tamadun luar termasuk Rom kuno.
Menurutnya, pengaruh Fenisia turut mendorong kepada perkembangan teknologi maritim nusantara, terutama dari segi kemahiran pembinaan kapal.
“Orang Rom belajar daripada orang Melayu macam mana cara hendak membuat kapal. Orang Melayu pula belajarnya daripada Fenisia.
Dakwanya, meskipun sukar mengenal pasti secara tepat bagaimana teknologi maritim Melayu membawa perubahan kepada bangsa Rom, namun proses pemindahan ilmu tersebut didakwa melibatkan pelayaran merentasi lautan luas.
Susulan kenyataan pensyarah ini, UIAM memaklumkan pihaknya sedang ‘meneliti’ kenyataan berkenaan.
Menurut UIAM, pihaknya memandang serius perkara itu dan kesal dengan tindakan ahli akademik tersebut.
Langkah dalaman akan diambil selaras dengan prosedur sedia ada selepas penelitian itu selesai, tambahnya.
Pihak universiti juga berkata, kenyataan pensyarah itu sekali lagi mencemarkan integriti akademik dan reputasi UIAM, walaupun teguran telah diberikan kepada beliau sebelum ini agar lebih bertanggungjawab apabila mengulas isu-isu akademik. – MalaysiaGazette
UIAM siasat pensyarahnya dakwa Rom belajar bina kapal daripada orang Melayu
















