Terdapat insiden disahkan di mana dua ambulans kerajaan dihantar ke kes yang sama dakwa Ahli Dewan Negara, Dr R.A. Lingeshwaran.

GEORGE TOWN – Persatuan Ambulans Komuniti Sungai Ara menegaskan gangguan penyampaian perkhidmatan ambulans kecemasan susulan pelaksanaan sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) bukan insiden terpencil.

Persatuan itu dalam kenyataan berkata, penegasan dibuat selepas Kementerian Kesihatan, Kementerian Komunikasi dan Telekom Malaysia mengeluarkan kenyataan bersama bertarikh 18 November yang merujuk gangguan tersebut sebagai “insiden terpencil” dan memaklumkan sistem baharu itu beroperasi seperti biasa.

“Gambaran tersebut tidak mencerminkan realiti di lapangan, khususnya di Pulau Pinang, di mana kami berada di barisan hadapan membantu rakyat yang terkesan dengan gangguan sistem itu.

“Satu kes dilaporkan berlaku pada jam 7.23 pagi di Sungai Ara apabila talian kecemasan 999 tidak menjawab panggilan meskipun ambulans diperlukan.

“Dalam satu lagi kejadian, seorang warga emas mengalami kesukaran bernafas sebelum ahli keluarganya membuat panggilan ke talian 999 pada jam 4.28 petang, namun tiada ambulans tiba untuk membantu dan sebuah ambulans NGO akhirnya tiba pada jam 6.09 petang dan membawa pesakit ke hospital,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, panggilan ke talian NG MERS 999 dan perkhidmatan ambulans kecemasan melibatkan perbezaan antara hidup dan mati serta tidak boleh dipandang ringan.

“Kita berharap penyelesaian tuntas dapat diberikan bagi mengatasi gangguan yang terus timbul sejak sistem baharu itu dilaksanakan.

“Kita turut merakam penghargaan kepada pemimpin tempatan termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang mengambil maklum realiti di lapangan dan bersuara lantang mengenai isu itu.

“Justeru penduduk Pulau Pinang disarankan untuk menghubungi talian 999 terlebih dahulu sekiranya memerlukan ambulans kecemasan, namun jika panggilan tidak dijawab atau ambulans tidak tiba, boleh menghubungi Persatuan Ambulans Komuniti Sungai Ara di talian +60111 0510 991.

Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Dr R.A. Lingeshwaran meluahkan kebimbangan terhadap laporan orang awam dan pihak berkepentingan yang menyifatkan sistem itu tidak berfungsi dengan baik, sekali gus memberi kesan langsung kepada keselamatan serta nyawa rakyat.

Katanya, krisis yang berlaku turut membebankan operasi perkhidmatan ambulans kecemasan di seluruh negara

“Terdapat insiden disahkan di mana dua ambulans kerajaan dihantar ke kes yang sama, menunjukkan kelemahan koordinasi, pembaziran sumber dan risiko kelewatan tindak balas terhadap kes kecemasan lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast