KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) terbuka menerima apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh MIC, termasuk resolusi perwakilan parti itu untuk meninggalkan gabungan berkenaan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu diambil kerana beliau tidak mahu mencampuri hal ehwal dalaman MIC yang menjadi hak parti tersebut.
“Apa juga keputusan yang akan dibuat oleh mereka, kita dengan berlapang dada dan hati terbuka menerima,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi China Global 2025 bertemakan “Kepimpinan & Perkongsian Global dalam Era Transformasi Digital dan Hijau” di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Ahad lalu, perwakilan MIC sebulat suara menyokong resolusi untuk menamatkan penyertaan parti dalam BN pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79, namun menyerahkan keputusan akhir itu kepada Presiden, Tan Sri S. A. Vigneswaran serta kepimpinan tertinggi parti.
Mereka turut memberi mandat kepada kepimpinan MIC untuk mempertimbangkan jajaran baharu bersama Perikatan Nasional (PN) pada waktu yang difikirkan sesuai.
Mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan gabungan itu akan mengatur pertemuan dengan pimpinan tertinggi MIC mengenai kedudukan parti tersebut, Ahmad Zahid menyifatkan langkah itu sebagai yang terbaik.
“Itu sebaik-baik pendekatan. Apa pun keputusan yang akan dibuat terserah kepada parti berkenaan,” katanya.
Semalam, Mohamad Hasan turut menyatakan keyakinan bahawa MIC akan membuat pertimbangan sewajarnya terhadap resolusi yang diluluskan perwakilan, termasuk kemungkinan keluar BN dan membentuk jajaran baharu bersama PN.
Katanya, langkah itu perlu dipertimbangkan dengan berhati-hati kerana persahabatan politik yang terjalin sejak sekian lama tidak wajar dibiarkan berakhir begitu sahaja.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Perhimpunan Agung MIC Ke-79 menangguhkan keputusan muktamad mengenai masa depan parti dalam BN selepas Timbalan Presiden, Datuk Seri M. Saravanan membentangkan tiga usul utama, termasuk cadangan keluar daripada gabungan berkenaan.
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran memaklumkan bahawa ketiga-tiga usul tersebut telah diterima dan akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) sebelum keputusan dimuktamadkan. – MalaysiaGazette
















