Rohana (kanan) dan adiknya, Rosliza menunjukkan gambar Muhamad Amin yang maut dalam nahas semalam, di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Hasrat Pembantu Perubatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk menjaga ibunya yang uzur tidak kesampaian apabila terkorban dalam kemalangan di Jalan Johor Bahru-Mersing dekat sini semalam.

Menurut Rohana Mukhtar, 54, adiknya, Muhamad Amin, 35, yang sudah tujuh tahun bertugas di HSI merancang pulang dan menetap bersama-sama ibunya, Normah Rani, 70, yang sudah uzur dan menghidap sakit darah tinggi di kampungnya di Setiu, Terengganu.

Kemalangan yang meragut nyawa Amin dan dua lagi mangsa di Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi semalam.

Rohana berkata, arwah yang masih bujang dan suka melancong itu meluangkan hasrat tersebut semasa pulang ke kampung menghadirinya majlis perkahwinan anaknya pada Sabtu lalu.

“Adik saya merupakan seorang yang periang namun apabila pulang pada kali ini arwah kelihatan pendiam dan kurang bercakap. Diia juga kelihatan kurus sedikit dan pandangan matanya lain.

“Sebelum ini saya ada memintanya berpindah balik ke kampung tetapi arwah tidak mahu. Kali terakhir kami sekeluarga berjumpanya semalam. Arwah terlibat kemalangan semasa dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke Johor Bahru.

Dua lelaki dan seorang wanita maut dalam kemalangan dua kereta di Jalan Jemaluang, Kota Tinggi semalam.

“Rakan arwah ada memberitahu, sebelum balik kampung arwah ada meminta maaf dengan mereka. Kami dapat tahu kemalangan yang menimpanya pukul 6.30 petang semalam,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.25 petang semalam, Muhamad Amin yang memandu kereta Honda City dan pemandu Toyota Vios, Muhamad Shuhairil Soraiya, 21, dan penumpang, Nur Fatin Nabilah Yusrishahrun, 20, maut dalam nahas itu.

Rohana berkata, jenazah Muhamad Amin yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik akan dibawa balik ke Setiu untuk dikebumikan petang ini.

Sementara itu, Siti Aishah Hamdan, 43, ibu kepada Nur Fatin Nabilah berkata, anak tunggalnya itu baru tinggal semula dengan neneknya di Felda Tenggaroh 1 dekat sini sejak dua bulan lalu.

Siti Aishah menunjukkan gambar Nur Fatin Nabilah ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi hari ini.

“Saya sempat menghubunginya menerusi WhatsApp pada sebelah pagi sebelum kejadian berlaku, arwah pesan beli coklat untuknya dan saya akan memberikannya apabila bertemu di rumah saya Tanjung Minyak, Melaka pada Ahad ini.

“Arwah tinggal bersama-sama datuk dan neneknya sejak kecil. Sebelum kejadian rakan arwah ada meminta izin untuk membawanya keluar,” ujarnya yang memberitahu, arwah akan dikebumikan di Felda Tenggaroh 1 selepas solat Zuhur hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Serad Nawawi, 52, bapa saudara kepada Muhamad Shuhairil berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada pukul 6.30 petang semalam.

Muhamad Shuhairil merupakan seorang anggota tentera antara yang terkorban dalam nahas berkenaan.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada 27 Mei lalu semasa Hari Raya Aidiladha. Arwah yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik dan merupakan seorang tentera di Kem Iskandar, Mersing sebelum ini tidak menunjukkan perubahan sikap,” katanya.

Tambahnya, arwah mengikut jejak langkah bapanya juga merupakan bekas tentera, malah kakak kedua serta abang kelimanya masih berkhidmat sebagai tentera.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here