Anwar bersama Abiy Ahmed ke Muzium Sains Ethiopia semasa lawatan kerja ke Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia. Gambar: Facebook Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Ketibaan delegasi Malaysia ke Ethiopia mendapat sambutan istimewa apabila Perdana Menteri negara itu, Dr. Abiy Ahmed Ali sendiri memandu rombongan berkenaan menuju ke Muzium Sains Ethiopia, lokasi yang menampilkan sejarah pembangunan sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang dipacu kerajaan pimpinannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, delegasi Malaysia melahirkan rasa kagum terhadap kemajuan pesat yang dicapai Ethiopia sehingga menjadikan negara tersebut antara yang paling berkembang maju di rantau Tanduk Afrika.

“Rombongan turut dibawa melawat Friendship Park, sebuah kawasan rekreasi serba lengkap yang menempatkan zoo, arkib sejarah kenegaraan serta menjadi pusat riadah utama masyarakat setempat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri berkata, kemesraan serta layanan yang diberikan oleh kerajaan Ethiopia sangat dihargai, apatah lagi ketika kedua-dua negara sedang berusaha merapatkan hubungan serta meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang strategik.

Anwar bersama delegasi berlepas ke Ethiopia yang menjadi persinggahan pertama dalam rangka lawatan ke tiga negara di benua Afrika.

Ia bermula dengan lawatan rasmi tiga hari di Addis Ababa sehingga esok atas jemputan rakan sejawatnya, Dr Abiy.

Ini adalah lawatan pertama Anwar ke Ethiopia dan bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Ethiopia yang terjalin sejak Januari 1965.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; pegawai kanan kerajaan yang lain serta delegasi perniagaan.

Ethiopia dilingkungi daratan paling ramai penduduk di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia bernilai RM446.8 juta, dengan eksport dari Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, peningkatan 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi lawatan kerja bermula esok hingga 23 November untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20, diikuti lawatan rasmi ke Kenya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast