Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang juruteknik berputih mata selepas mengalami kerugian lebih RM600,000 akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud pada September lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa yang berumur 57 tahun telah melihat iklan pelaburan saham menjanjikan keuntungan tinggi melalui aplikasi Facebook. 

“Mangsa kemudian berhubung dengan suspek (wanita) melalui WhatsApp dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp Ethereal Capital.

“Mangsa diberikan penerangan mengenai pelaburan yang menjanjikan pulangan 20 peratus hingga 30 peratus dalam tempoh satu hingga lapan hari dari jumlah modal dilaburkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, mangsa mula berminat untuk menyertai pelaburan tersebut dan diminta memuat turun aplikasi Ethereal Capital untuk pendaftaran ahli dan pelaburan. 

Pada 5 September 2025, mangsa membuat pembayaran pertama sebanyak RM300 ke akaun CIMB atas nama individu tertentu dan menerima pulangan RM32,200 pada hari yang sama. 

Jelasnya, mangsa kemudian menambah pelaburan kepada RM200,000 dengan janji keuntungan RM700,000.

“Apabila mangsa ingin mengeluarkan keuntungan, suspek meminta bayaran cukai dan yuran proses pengeluaran. 

“Dari 5 September hingga 11 November 2025, mangsa telah membuat 62 transaksi ke dalam 36 akaun bank berbeza. 

“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila keuntungan tidak dapat dikeluarkan dan diminta membuat bayaran tambahan. 

“Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 17 November lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan bahawa penyertaan dalam mana-mana skim pelaburan, terutama yang ditawarkan secara dalam talian, adalah sangat berisiko. 

Masyarakat turut dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan helah ‘scammer’ yang bersembunyi di platform media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast