Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook
Anthony Loke Siew Fook mempengerusikan Mesyuarat Pasca-Kabinet Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini.

KUALA LUMPUR – Tiga insiden besar yang berlaku baru-baru ini melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Stesen Keretapi Butterworth menjadi tumpuan Mesyuarat Pasca-Kabinet Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mesyuarat menerima taklimat penuh berhubung insiden limpahan air hujan di Terminal 1 KLIA yang berpunca daripada kerja-kerja kalis air di bumbung utama bangunan terminal.

Susulan itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mengeluarkan arahan henti kerja bagi membolehkan siasatan dalaman dilaksanakan selain memastikan tindakan pembetulan diambil segera.

“Saya turut mengarahkan MAHB untuk mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor di atas kecuaian yang menyebabkan insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Loke berkata, kerja-kerja kalis air itu dijalankan oleh Teras Budi Resources Sdn. Bhd. di bawah kontrak bernilai RM5.27 juta bagi tempoh 15 April 2025 hingga 14 April 2026.

Pada 14 November lalu, KLIA Terminal 1 dilanda kebocoran siling selepas hujan lebat dan cuaca ekstrem di Lembah Klang, dengan video kejadian itu tular memaparkan air menitis dari struktur siling di balai pelepasan utama.

Dalam mesyuarat sama, MOT turut memutuskan penubuhan dua pasukan petugas khas bagi menyiasat insiden letupan kontena di PTP dan kejadian tren komuter terlajak di Stesen Butterworth, bagi memastikan siasatan berjalan secara telus dan bebas.

Bagi insiden letupan kontena, pasukan petugas khas akan meneliti punca kejadian di atas kapal MV Kyparissia pada 7 November lalu.

“Letupan kontena di atas kapal MV Kyparissia ketika kerja pemunggahan dijalankan pada 7 November 2025 mengakibatkan tiga kematian dan tiga lagi cedera. Pasukan petugas akan meneliti keseluruhan aspek operasi, pematuhan keselamatan serta mekanisme pengendalian kargo berbahaya,” jelasnya.

Bagi insiden tren komuter kosong yang terlajak hingga ke hujung landasan di Platform 4 Stesen Butterworth pada 8 November, pasukan petugas akan menilai punca insiden serta cadangan penambahbaikan.

“Saya turut mengarahkan APAD untuk membuka kertas siasatan terhadap pemandu tren tersebut, dan mengambil tindakan susulan selepas siasatan tersebut,” tambahnya.

Loke menegaskan keselamatan pengguna serta integriti operasi sektor pengangkutan kekal sebagai keutamaan MOT dan semua operator diingatkan supaya mematuhi prosedur keselamatan secara konsisten.

MOT akan berkongsi perkembangan hasil siasatan kedua-dua pasukan petugas itu dari semasa ke semasa sebagai komitmen terhadap ketelusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast