PETALING JAYA – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini membenarkan permohonan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan memperuntukan tempoh tambahan sebulan bagi menyiapkan laporan psikiatri seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan di sebuah sekolah di Damansara Utama pada 14 Oktober lalu.
Tertuduh yang berusia 14 tahun itu tidak dibawa ke mahkamah kerana masih menjalani rawatan di hospital tersebut.
Peguam bela baharu, Kitson Foong ketika ditemui media di pekarangan mahkamah mendedahkan, penilaian psikiatri itu adalah komponen penting sebelum sebarang tindakan lanjut dapat dilakukan terhadap anak guamnya.
“Pakar psikiatri memohon satu bulan lagi untuk menyediakan laporan mereka, dan mahkamah telah membenarkannya mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Foong menjelaskan laporan tersebut diperlukan untuk menilai kecergasan mental anak guamnya bagi membuat pengakuan dan menjalani perbicaraan pada masa akan datang.
“Penilaian ini kritikal. Ia menentukan sama ada dia benar-benar cergas dari segi mental untuk meneruskan prosiding.
“Aspek ini sama penting adalah penilaian keadaan minda tertuduh ketika kejadian didakwa berlaku. Keadaan mental pada waktu kejadian adalah faktor utama yang perlu diambil kira dalam mana-mana kes juvana,” ujarnya.
Kata Foong, pihak pembelaan melihat lanjutan itu sebagai langkah positif dan menunjukkan komitmen mahkamah terhadap proses perundangan yang teliti serta adil.
“Ini bukan penangguhan yang disengajakan. Kita tahu pakar psikiatri menangani ramai pesakit dan kesediaan setiap pesakit perlu dinilai sebelum sesi temuduga boleh dijalankan,” katanya.
Beliau memaklumkan keluarga tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada pihak hospital untuk mempercepatkan penyediaan laporan tersebut.
“Kami sediakan segala dokumen dan apa sahaja yang diperlukan supaya laporan itu komprehensif dan menyeluruh,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan dokumen daripada pihak pendakwaan, Foong berkata, setakat ini hanya kertas pertuduhan diserahkan kepada pihaknya.
“Selain itu belum ada apa-apa. Di bawah Seksyen 51A, pendakwaan mesti serahkan semua bahan sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.
“Kami berharap pada tarikh sebutan akan datang, mungkin ada beberapa dokumen lagi yang dapat diberikan, supaya kami boleh tahu sedikit sebanyak apakah barang bukti yang mereka ada,” katanya.
Ketika ditanya tentang keadaan remaja lelaki berkenaan, beliau memaklumkan berdasarkan maklumat yang diterimanya, tertuduh bawah umur itu berada dalam keadaan fizikal yang baik dan sedang menerima rawatan sepenuhnya di hospital.
Mahkamah juga menetapkan 19 Disember sebagai tarikh sebutan seterusnya bagi mendapatkan laporan psikiatri tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, pelajar Tingkatan 1 (Peralihan) itu didakwa membunuh mangsa di tandas perempuan sekolah berkenaan antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober.
Kesalahan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati. Namun bagi pesalah juvana, mahkamah mempunyai budi bicara menjatuhkan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan bahawa mangsa ditemui dalam keadaan parah di kawasan tandas perempuan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital dan polis menahan suspek pada hari sama dan merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam serangan.
Dalam sidang media selepas itu, ibu mangsa mendakwa anaknya ditikam lebih 200 kali, menjadikan kes ini antara insiden serangan di sekolah paling ekstrem yang pernah dilaporkan dalam negara. – MalaysiaGazette
















