KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 peserta terutamanya pelajar universiti dan kolej telah memeriahkan acara larian iaitu TAHA Run 2025 yang julung kali dianjurkan Lembaga Tabung Haji (TH).
Bertemakan “Run For A Lifetime Journey” (Larian untuk Perjalanan Sepanjang), program itu diadakan bagi mendekati generasi muda sambil memupuk gaya hidup sihat dan aktif dengan memberi tumpuan kepada ahli Kelab TaHa@U iaitu pendeposit TH dalam kalangan pelajar berusia 18 hingga 25 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar berkata, program itu bukan sekadar acara riadah dalam menyokong gaya hidup sihat tetapi turut membawa mesej mendalam tentang kepentingan menabung secara konsisten dan merancang kewangan sejak usia muda.
“Saya berharap semoga semua para peserta TAHA Run akan turut cakna tentang ibadah haji sekaligus berazam untuk terus menjaga kesihatan dan kekal sihat untuk menunaikan haji nanti.
“Paling penting, mulakan amalan menabung secara konsisten di Tabung Haji bermula hari ini agar dapat menunaikan haji semasa badan masih kuat dan bertenaga,” katanya yang hadir merasmikan program dan menyempurnakan upacara pelepasan peserta di Stadium Universiti Putra Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad dan barisan pengurusan tertinggi TH.

Acara turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan strategik Kelab TaHa termasuk pempengaruh pendidikan MCPLUS seperti Sir Uzairi, Sir Badang dan Sir Fathi yang turut menjadi lead runner (pelari utama) dalam mencetus semangat kesukanan kepada para peserta.
Sementara itu, Mustakim berkata, TH melalui Kelab TaHa komited untuk terus menganjurkan program berimpak tinggi.
“Seperti dalam larian, setiap langkah kecil membawa kita ke garisan penamat. Begitu juga dengan simpanan, setiap jumlah yang disimpan secara berterusan akan membina masa depan yang lebih baik.
“Melalui aktiviti seperti TAHA Run, kami ingin menyemai kesedaran ini dalam diri generasi muda agar mereka lebih bersedia untuk masa depan khususnya ibadah haji,” jelas beliau.
Sementara itu, acara telah dimulakan dengan penyertaan peserta seawal pukul 6.00 pagi dibahagi kepada dua kategori iaitu kategori tiga dan lima kilometer yang turut menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa pakej umrah bernilai RM8,000 kepada peserta yang bertuah. – MalaysiaGazette
















