SEBERANG JAYA – Dasar Gaji Progresif (DGP) merekodkan lonjakan ketara apabila lebih 27,000 pekerja berjaya menerima manfaat dalam tempoh 11 bulan pelaksanaannya.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, lonjakan itu mencerminkan keyakinan industri terhadap model gaji berasaskan kemahiran dan produktiviti.
Jelas beliau, berdasarkan data sehingga 17 November lalu menunjukkan keberkesanan dasar itu di tempat kerja dengan lebih 45 peratus penerima manfaat daripada kategori profesional hingga operator mesin, menikmati peningkatan gaji sekurang-kurangnya RM300.

“Daripada jumlah itu, 22 peratus adalah golongan belia. Ini indikator penting bahawa DGP mampu menarik, mengekalkan dan mengembangkan tenaga kerja muda yang kritikal kepada peningkatan produktiviti negara,” katanya pada Sesi Libat Urus DGP dan Majlis Penghargaan kepada Majikan DGP di Hotel The Light di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, Dato’ Haji Asri Ab Rahman.
Menurut Steven Sim, penyertaan majikan turut dipacu oleh manfaat langsung kepada mereka, termasuk insentif kewangan bulanan yang dibayar terus oleh PERKESO sehingga 2027 serta akses kepada tenaga kerja yang lebih mahir, produktif dan stabil.
Katanya, pendekatan DGP yang bersifat sukarela dan berperingkat memberi ruang kepada majikan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), menyesuaikannya mengikut kemampuan operasi masing-masing.
“Melihat kepada pencapaian setakat ini, kerajaan menyeru lebih banyak majikan menyertai DGP sebagai pelaburan strategik terhadap daya saing syarikat masing-masing.
“DGP bukan sekadar dasar ekonomi, tetapi reformasi struktur gaji yang memastikan peningkatan kemahiran diterjemahkan kepada ganjaran gaji setimpal, sekali gus menyokong objektif nasional membina pasaran buruh lebih adil, progresif dan mampan,” katanya.
Program itu menghimpunkan lebih 250 majikan dari pelbagai sektor industri bagi memperkukuh kefahaman terhadap pelaksanaan DGP, selain menjadi platform kerajaan mendapatkan maklum balas terus berhubung cabaran, peluang dan cadangan penambahbaikan dasar.

Pada majlis itu, Steven Sim turut menyampaikan penghargaan kepada majikan yang menunjukkan komitmen tinggi mengamalkan struktur gaji berasaskan kemahiran dan produktiviti, sekali gus menjadi rakan strategik penting kepada usaha kerajaan meningkatkan pendapatan pekerja secara berstruktur dan mampan. – MalaysiaGazette
















