Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil para peserta Seminar Kesadaran Penipuan Siber khusus untuk komuniti India Parlimen Lembah Pantai di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 NOVEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Setakat 20 November lalu, Kempen Internet Selamat (KIS) telah berjaya dilaksanakan di 8,158 sekolah seluruh negara, melebihi sasaran 8,000 sekolah untuk tahun ini.

KIS menyasarkan untuk mencapai 10,000 sekolah di seluruh negara menjelang suku ketiga 2026.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyuarakan komitmen penuh pihaknya untuk memperluaskan pemahaman kepada masyarakat, khususnya generasi muda, tentang penggunaan Internet dengan selamat.

“Ini salah satu usaha untuk kita tingkatkan pemahaman di kalangan guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan murid-murid bahawa internet kita perlu waspada, perlu hati-hati.

“Media sosial ini banyak sangat data kita, kita serahkan bulat-bulat kepada syarikat asing yang tahu isi kandungan rumah kita, ahli keluarga kita, muka kita dan mereka akan simpan data ini selama-lamanya,” katanya.

KIS memfokuskan langkah-langkah meningkatkan literasi keselamatan digital, termasuk kesedaran mengenai jenayah penipuan dalam talian, buli siber dan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

“Kita kena pastikan anak-anak tidak terdedah kepada pemangsa yang berkeliaran yang mencuri data cuba mengapa-apakan anak-anak kita,” ujarnya.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersama wakil komuniti di majlis Penutupan Seminar Kesadaran Penipuan Siber di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 NOVEMBER 2025

Selain itu Fahmi berkata, kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia turut menganjurkan Ikon Internet Selamat untuk menyebarkan maklumat berkaitan jenayah siber secara berkala.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai, di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) hari ini.

Ini merupakan kali kedua IPPTAR menganjurkan seminar berkenaan, sejajar dengan komitmen meningkatkan pengetahuan serta kemahiran praktikal untuk mengenal pasti dan melaporkan penipuan dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil beramah mesra bersama tetamu Majlis Penutupan Seminar Kesadaran Penipuan Siber khusus untuk komuniti India di kawasan Lembah Pantai di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 NOVEMBER 2025

Peserta adalah daripada komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, PPR Kerinchi, PPR Seri Pantai, PPR Seri Cempaka, PPR Kampung Limau dan Flat Seri Pahang.

Bagi Kamala A/P Arumugam, 54, program berkenaan nyata memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Hari ini kita diberitahu, bagaimana penipuan dalam talian berlaku, apa yang mereka minta selalunya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pernah menjadi mangsa penipuan kurier sebelum ini, Kamala berkata, program tersebut membuka matanya untuk terus berwaspada.

Pendapat sama turut disuarakan oleh penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dhanes A/L Letcumanan, 23.

Ujarnya, meskipun Internet memberi banyak manfaat, pihak tidak bertanggungjawab terus menyalahgunakannya untuk meraih keuntungan dengan cara menipu.

“Hari ini kami mengetahui jenis-jenis penipuan dalam talian yang ada sekarang jadi ia memberi kesedaran. Sekarang banyak penipuan ada tawaran bekerja pun ada penipuan juga. Ada juga link-link yang tidak boleh ditekan sewenangnya,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast