Bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak tersenyum ketika keluar dari mahkamah selepas keputusan permohonan kerajaan dapatkan ‘gag order’ titah adendum ditolak di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, titah adendum yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah, sah dan berperlembagaan kerana ia dikeluarkan di bawah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, YDPA mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan melangkaui cadangan yang dikemukakan Lembaga Pengampunan.

Hujah beliau, Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan tidak menghendaki keputusan muktamad Seri Paduka dibincangkan atau dilafazkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Menurut Muhammad Shafee, YDPA tidak perlu mematuhi atau bersetuju dengan saranan Lembaga Pengampunan, meskipun baginda mempengerusikan sidangnya.

Sehubungan itu, peguam tersebut memohon mahkamah menolak percubaan kerajaan untuk memasukkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan dalam usaha menafikan YDPA mengeluarkan titah adendum berkaitan tahanan rumah terhadap Najib.

Dalam hujahannya, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan menyatakan, titah adendum berkaitan tahanan rumah adalah tidak sah kerana ia tidak dibincangkan atau direkodkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Oleh yang demikian, kerajaan menghujahkan, titah berkenaan tidak dikeluarkan berdasarkan proses perlembagaan yang betul, seterusnya tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan melalui perintah mandamus.

Dalam hujahannya, Muhammad Shafee bagaimanapun menyatakan, perkara dalaman dalam minit sidang berkaitan titah adendum, tidak boleh diadili atau dipertikaikan di mahkamah.

“Kebergantungan kerajaan kepada minit sidang tidak dibenarkan dari segi perlembagaan dan prosedur kerana ia sama seperti cuba mencabar hak prerogatif YDPA,” hujah peguam.

Muhammad Shafee selanjutnya menghujahkan, proses Lembaga Pengampunan dalam mencapai keputusan tidak oleh dicabar melalui semakan kehakiman.

Hujah beliau, ini bermakna minit sidang Lembaga Pengampunan yang merupakan sebahagian daripada proses yang dilindungi, tidak boleh diterima masuk sebagai bukti kerana penelitian terhadap kandungannya melanggar prinsip ketidakwajaran proses pengampunan.

Seterusnya, Muhammad Shafee menghujahkan, Najib tidak diberi pengampunan penuh sebaliknya pengurangan hukuman penjara dan denda hanya bertujuan melegakan hukuman terhadapnya.

Hujah beliau, titah itu membolehkan Najib diberi kelonggaran dengan mengubahsuai cara hukuman dijalani dengan membenarkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.

“Titah ini tidak memadamkan sabitan atau mengetepikan hukuman terhadapnya, sebaliknya ia hanya `melegakan hukuman’ tersebut.

“Perintah tambahan itu berada di luar skop dan nasihat Lembaga Pengampunan, sebaliknya ia kekal di bawah kuasa prerogatif YDPA,” hujah Muhammad Shafee.

Hakim Alice Loke Yee Ching selesai mendengar penghujahan kedua-dua pihak dan menetapkan keputusan pada 5 Januari tahun depan.

Bekas Perdana Menteri itu memfailkan semakan kehakiman bagi memohon perintah supaya responden atau mana-mana daripada mereka diarahkan untuk segera melaksanakannya, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Dalam semakan kehakiman, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Pesuruhjaya Negara Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi. Sabitan dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, yang menolak rayuannya.

Najib kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan tempoh penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast