KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia (BIGBEN) ke Tahap 3 yang beroperasi 24 jam susulan banjir yang semakin memburuk di beberapa negeri, khususnya di Pantai Timur.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengaktifan itu bagi menyelaras data kerosakan infrastruktur di seluruh negara secara lebih sistematik selain memantau keadaan lapangan secara masa nyata.
Menurutnya, BIGBEN turut berfungsi menyelaras pergerakan pasukan teknikal JKR di negeri terlibat serta menjadi pusat rujukan utama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi berkaitan.
“Semua JKR negeri juga diarahkan untuk mengaktifkan bilik gerakan masing-masing dan membuat laporan terus kepada BIGBEN,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
Alexander berkata, setakat pukul 3.30 petang, lebih 13,000 mangsa banjir direkodkan di lapan negeri dengan Kelantan menjadi negeri paling terjejas apabila lebih 9,000 mangsa kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Selain banjir, beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan termasuk insiden berhampiran pangsapuri di Jalan Sepadu 6, Taman United, Seputeh, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, pasukan teknikal JKR telah digerakkan ke semua lokasi terjejas untuk menilai risiko keselamatan dan melaksanakan pembaikan segera terhadap infrastruktur kritikal seperti jalan, saliran dan cerun.
Beberapa laluan berisiko tinggi turut ditutup sementara bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, manakala pemantauan 24 jam dijalankan bersama agensi berkaitan serta pihak berkuasa tempatan.
“Saya telah mengarahkan semua jabatan dan agensi di bawah KKR, khususnya JKR, untuk melipatgandakan pemantauan di lapangan serta meningkatkan kerjasama dengan komuniti setempat dan pihak berkuasa,” jelasnya.
Beliau berkata, KKR bersama kerajaan negeri serta agensi terlibat sedang bekerja keras demi keselamatan rakyat.
Tambahnya beliau, perkembangan terkini akan disalurkan melalui saluran rasmi kementerian dan agensi di bawah KKR dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette
















