SHAH ALAM – Apa yang menjadi tular di internet tidak semestinya betul, manakala yang betul tidak semestinya menjadi tular, demikian kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, ia merupakan antara cabaran pengamal media konvensional khususnya pada hari ini untuk menerbitkan berita yang benar-benar sahih.

“Kalau dulu apa yang direkodkan di media itulah yang akan menjadi perhatian dan dibicarakan. Tetapi kini cakap-cakap ataupun hearsay ataupun fake news ataupun berita yang kurang benar akan kerap menjadi rujukan dan juga
pertimbangan.

“Justru saya percaya ini cabaran besar bagaimana transformasi di antara media konvensional yang perlu menunggu waktu deadlinedan juga waktu habis dengan kitaran berita yang keluar dengan pantas dan datang dengan begitu cepat yang mengakibatkan kadang-kadang suasana menjadi tidak tentu arah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan majlis perasmian Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR).

Mengulas lanjut Amirudin berkata, maklumat yang tidak tepat akan mengakibatkan keseluruhan institusi pengamal media termasuk wartawan terperangkap dengan naratif pelbagai.

Oleh sebab itu beliau berpendirian bahawa, 24 jam merupakan satu tempoh yang lewat untuk memberikan maklum balas atau respon berhubung isu yang tertentu khususnya berisiko mencetuskan pelbagai reaksi.

“Kita tidak boleh tunggu sampai 24 jam, tempoh itu sudah agak terlewat daripada melaporkan dan memberikan maklum balas segera terhadap sesuatu peristiwa dan tindakan yang berlaku,” tambahnya.

Sebagai penaung WAJAR, Amirudin memberi jaminan akan sentiasa menyokong dan membantu pertubuhan tersebut dari semasa ke semasa.

WAJAR ditubuhkan untuk menjaga kebajikan serta mempertingkatkan kesejahteraan para wartawan dan jurugambar di Selangor.

Pertubuhan berkenaan mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada Julai tahun ini.

Sehingga kini, seramai 80 orang ahli berdaftar yang menyertai WAJAR merangkumi wartawan dan jurugambar daripada pelbagai organisasi media sama ada media penyiaran, surat khabar atau portal berita.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast