Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer hari ini menuntut penjelasan kerajaan terhadap beberapa kes berprofil tinggi yang masih belum menemui penyelesaian, termasuk insiden serangan dan tembak-menembak yang semakin meresahkan rakyat.

Beliau berkata, walaupun kerajaan meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) daripada RM150 juta kepada RM606 juta, rakyat mahu melihat siasatan yang lebih tuntas dan telus.

“Saya merakamkan penghargaan kepada PDRM yang sentiasa memastikan keselamatan rakyat, tetapi peningkatan dana ini mesti diterjemahkan kepada penyelesaian kes. Kita tidak boleh terus membiarkan rakyat tertanya-tanya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Rayer mempersoalkan siasatan pihak berkuasa terhadap kes kehilangan Pastor Raymond Koh, Ustaz Amri Che Mat, pasangan Ruth dan Joshua serta kes Datin Sri Pamela Ling yang hilang dalam perjalanan ke  SPRM Putrajaya pada 9 April 2025.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya ingin tahu apakah penyudah bagi semua kes ini. Adakah PDRM akan menyiasat sehingga selesai? Apa sebenarnya yang berlaku kepada mereka?” soal Rayer.

Rayer yang torut merujuk insiden seorang individu yang didakwa dipukul ketika dalam tahanan menyatakan bahawa beliau tidak membuat sebarang tuduhan, tetapi mahu memastikan integriti PDRM tidak terus dipersoalkan.

Rayer memberi peringatan bahawa peningkatan insiden tembak-menembak serta serangan individu boleh menjejaskan persepsi keselamatan negara jika tidak ditangani dengan segera.

“Kita tidak mahu Malaysia ini jadi macam bandar koboi. Kes tembak sana sini, serangan berlaku berulang tetapi tiada penyudah. Ini menimbulkan kebimbangan rakyat,” katanya.

Pemimpin DAP itu juga menuntut penjelasan mengenai perkembangan siasatan terhadap serangan ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Faisal Abdul Halim, serta insiden terbaru membabitkan wartawan sukan Haresh Deol yang diserang di Bangsar.

“Ini negara berdaulat, bukan wilayah tanpa undang-undang. Dengan peruntukan besar ini, rakyat mahu melihat kes-kes ini diselesaikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast