KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta supaya segera menambah baik Sistem Pengurusan Identiti (IDME) agar dapat berfungsi dengan stabil untuk kemudahan guru-guru.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ribuan guru di seluruh negara kini terpaksa ‘berperang’ mengisi maklumat dalam sistem berkenaan yang didapati mengalami gangguan hampir seminggu, sekaligus menambah tekanan terhadap tugas harian mereka.
Menurutnya, isu tersebut dimaklumkan semasa program RIMBUN 1.0, apabila ramai guru menyatakan beban kerja mereka semakin berat berikutan tugas pengkeranian yang tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab utama pendidik.
Beliau berkata, gangguan berterusan sistem tersebut lebih memburukkan keadaan apabila guru-guru dikejar untuk menyiapkan tugasan bagi memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan pihak atasan.

“Akhirnya lahirlah guru yang terbeban dengan tugas yang sebenarnya bukan tugas hakiki mereka. Kesannya bukan sahaja pada guru, tetapi juga pada anak-anak kita.
“Sudahlah kita minta guru-guru kita buat tugas pengkeranian, sekurangnya berilah mereka sistem yang boleh berfungsi dengan baik, bukannya sistem yang asyik tergendala sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook sambil menyeru agar KPM mendengar keluhan itu.
Beliau turut mengingatkan, meskipun guru sering diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri demi orang lain, mereka tidak wajar diperlakukan seperti “arang yang dibakar sehingga menjadi debu”. – MalaysiaGazette
















