KUALA LUMPUR – Cuaca buruk dan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu mengundang dua insiden berbahaya di perairan negara, membabitkan tanah runtuh di Pulau Jarak serta bot karam di perairan Pulau Perak.
Kesemua 28 mangsa daripada dua kejadian berasingan itu berjaya diselamatkan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan agensi penyelamat.
TLDM dalam kenyataan memaklumkan, fenomena cuaca ekstrem menyebabkan beberapa lokasi di Pulau Jarak mengalami insiden tanah runtuh, sekali gus mengundang risiko kepada anggota bertugas dan orang awam di pulau tersebut.
Katanya, TLDM menerima laporan mengenai sembilan orang awam yang terkandas ketika melaksanakan kerja penyenggaraan suar.
“Bagi memastikan keselamatan mereka, sebuah helikopter Super Lynx segera diatur gerak untuk melaksanakan pemindahan dari kawasan yang dinilai tidak lagi selamat.
“Tindakan pantas serta koordinasi rapi pasukan penyelamat berjaya membawa keluar kesemua mangsa dari zon berisiko tinggi,” menurut kenyataan itu.
TLDM berkata, dalam insiden berasingan di perairan Pulau Perak, Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11 pagi selepas menerima laporan sebuah bot karam akibat cuaca buruk.
Jelasnya, KD Ledang kemudian dikerah ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian berterusan dan pada pukul 10.15 malam semalam, kesemua 19 mangsa ditemui termasuk seorang yang disahkan meninggal dunia.
“Mangsa terselamat diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan kapal sebelum dibawa ke daratan untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
TLDM menasihatkan komuniti maritim agar lebih berwaspada ketika turun ke laut dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
Tegasnya, kapal atau bot yang digunakan hendaklah berada dalam keadaan baik serta sesuai beroperasi di kawasan perairan Selat Melaka yang kini bergelora.
“Keadaan angin kencang dan hujan lebat turut meningkatkan risiko ombak tinggi serta penglihatan terhad,” ujarnya.
Orang ramai disarankan mematuhi amaran cuaca dan mendapatkan maklumat awal daripada pihak berkuasa sebelum belayar bagi mengelakkan sebarang insiden yang mengancam nyawa. – MalaysiaGazette
















