KUALA LUMPUR – Dua peguam yang mewakili Albert Tei, Zaid Malek dan Mahajoth Singh mendakwa, ahli perniagaan itu sentiasa memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Malah, kata mereka, sudah ada persetujuan antara Albert dan SPRM yang beliau akan hadir pada 1 Disember ini.
“Semua orang tahu kerana SPRM sendiri mengeluarkan kenyataan mengenainya.
“Namun mereka tetap menyerbu rumahnya semalam dan mendakwa beliau tidak bekerjasama,” katanya kepada media selepas proses permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Zaid Malek dan Mahajoth Singh juga mendakwa mereka tidak dibenarkan bertemu anak guamnya dan tidak tahu kenapa Albert ditahan sebelum prosiding reman bermula di mahkamah hari ini.
Peguam-peguam itu menambah, selepas permohonan mereka untuk bertemu anak guamnya dibenarkan oleh mahkamah, barulah diketahui Albert disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
“Bayangkan sejak mereka hubungi dan serbu rumahnya, tiada siapa memaklumkan tuduhan atau seksyen siasatan. Hanya hari ini kami dimaklumkan beliau disiasat bawah Seksyen 16,” katanya.
Dalam prosiding sama, SPRM memohon reman tujuh hari terhadap Albert dan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin, namun mahkamah hanya membenarkan selama enam hari.
Peguam Shamsul Iskandar, Datuk Seri Yusmadi Yusoff berkata, tempoh reman diputuskan selepas majistret mengambil kira faktor kesihatan anak guamnya.
“Shamsul sedang menjalani rawatan jantung, kencing manis dan darah tinggi. Beliau menerima rawatan sewajarnya dalam tahanan. Kita turut serahkan rekod perubatan dari Institut Jantung Negara (IJN) kepada mahkamah,” katanya.
Namun, Yusmadi merakamkan penghargaan atas kerjasama SPRM kerana memastikan rawatan Shamsul Iskandar diberi perhatian.

“Permohonan reman terhadap Shamsul dibuat secara berasingan dan beliau memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan,” katanya.
Semalam, SPRM mengesahkan telah menahan Shamsul Iskandar bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan Albert.
Selain mereka, seorang wanita, Sofia Rini Buyong turut ditahan.
Sofia dilaporkan hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 10.30 malam Khamis sebelum direman empat hari sehingga Isnin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dipetik berkata, kes itu melibatkan kepentingan awam dan siasatan dijalankan segera bagi mengelakkan manipulasi.
Menurutnya, pegawai penyiasat telah diarahkan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh seminggu sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Beliau menggesa semua pihak agar tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai. – MalaysiaGazette
















