KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17) Sabah membuktikan Barisan Nasional (BN) masih mempunyai asas sokongan yang teguh dan terus menjadi salah satu blok politik penting dalam landskap politik Sabah.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai sebuah parti yang sentiasa memberikan keutamaan kepada soal kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, BN bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti yang sehaluan bagi membentuk sebuah kerajaan baharu untuk kestabilan politik di Sabah.
Dalam masa sama, menurutnya, BN menyeru seluruh rakyat Sabah untuk mengekalkan keamanan, perpaduan dan rasa hormat terhadap proses demokrasi yang sedang berlangsung.
“Perjalanan Negeri Sabah ke hadapan memerlukan iltizam semua pihak, dan BN akan terus memainkan peranan yang konstruktif bagi memastikan negeri ini terus melangkah ke arah kemajuan dan kemakmuran,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada calon-calon BN.
“Kita menghormati dan menerima keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang menyaksikan seramai 596 calon telah bertanding sebagai suatu manifestasi kesuburan demokrasi di negeri ini,” katanya.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat pukul 11 malam ini, BN memenangi 10 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada PRN-17 Sabah.
Antara kerusi yang dimenangi BN itu termasuk DUN Lamag; Sukau; Kunak; Bengkoka; Sekong; Usukan; Sungai Manila; Sungai Sibuga dan Sook. – MalaysiaGazette

















Muka tak tau malu… GRS tak nak ko.. terhegeh2 mcm pengemis..