Logo Polis Diraja Malaysia

KLANG – Satu lagi kes tembakan dilaporkan berlaku di daerah ini malam tadi dengan seorang lelaki lelaki terkulai dalam kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai maut ditembak.

Menurut maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku di sebuah kawasan perumahan Taman Mesra Indah, di sini, kira-kira jam 9 malam apabila penduduk setempat mendengar beberapa das tembakan dilepaskan.

Sejurus selepas itu mereka mendapati seorang lelaki sudah tidak bernyawa dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Setakat ini, polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai identiti mangsa atau motif kejadian.

Pasukan forensik serta unit anjing pengesan (K9) dilihat berada di lokasi pada malam tadi, manakala beberapa kawasan berhampiran ditutup dengan pita kuning dipasang bagi menghalang orang awam menghampiri tempat kejadian.

Difahamkan, seorang wanita dipercayai ibu mangsa hadir ke lokasi kira-kira jam 11 malam.

Beliau gagal menahan air mata daripada berguguran selepas dimaklumkan anaknya terlibat dalam insiden tersebut namun wanita itu tidak dibenarkan menghampiri kenderaan berkenaan berikutan siasatan masih berjalan.

Sebelum ini, dua klip video berdurasi 12 dan 20 saat tular di laman media sosial memaparkan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri berada dalam kenderaan pacuan empat roda, dipercayai selepas ditembak.

Polis dijangka mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast