Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret semalam menolak permohonan reman terhadap 171 lelaki waga tempatan yang ditahan melakukan aktiviti tidak bermoral di sebuah premis di Chow Kit, di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, permohonan reman hanya dibenarkan terhadap 31 lelaki warga asing.

Bagaimanapun katanya, kesemua yang direman telah dibebaskan hari ini.

“Permohonan reman untuk semua rakyat Malaysia semua ditolak. Dengan alasan lambat dikemukakan. Sebab apa? Tangkapan ramai. Proses nak dibuat satu persatu. Nak dikelaskan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, KL.

Menurut beliau, pihaknya berhadapan dengan kekangan apabila tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk membuat pendakwaan terhadap perbuatan tidak bermoral berkenaan.

Jelasnya ia ekoran kekangan perundangan yang hanya menetapkan perbuatan sedemikian perlu mempunyai mangsa.

“Dari aspek eksploitasi pelacuran ataupun luar tabi’i mesti ada mangsa. Dalam kes ini tidak ada seorang pun yang mengaku menjadi mangsa.

“Tidak ada bukti ke arah itu dan yang direman (warga asing) hanya disiasat di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Malah dalam masa yang sama Fadil berkata, pendakwaan juga tidak boleh dikemukakan kepada pihak penganjur atau pemilik premis.

“Kepada penganjur memang tidak ada kesalahan apa-apa setakat ini. Jadi sekarang ini kekangan. So the case is gone (Jadi kes ini sudah tiada),” tambahnya.

Bimbang gejala tidak bermoral sedemikian akan berleluasa ekoran kekangan perundangan, Fadil merayu supaya kementerian yang berkaitan saling bekerjasama untuk mencari alternatif.

“Dari sudut penguatkuasaan agama syariah yang ada di Selangor, di Kuala Lumpur tidak ada,” tambahnya.

Sehingga kini ujarnya, kesemua yang ditahan khususnya dalam kalangan warga tempatan diminta untuk menghadiri pemulihan dan ceramah.

“Jadi apa yang saya lihat benda ini kalau kita tak berubah atau buat pindaan undang-undang (kes sebegini akan hilang).  enda ini akan berlaku lebih teruk dan kami ini ambil tindakan, tidak ada keberhasilan,” katanya.

Kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan yang menjadi lokasi lelaki songsang berkumpul serta melakukan aktiviti tidak bermoral terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit, di sini, pada Jumaat lalu.

Operasi bermula jam 8 malam itu dijalankan oleh Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) susulan risikan selama dua minggu. 

Premis terbabit beroperasi di tingkat dua dan tiga sebuah bangunan rumah kedai. 

Tingkat bawah premis itu diubah suai sebagai gimnasium manakala tingkat atas dijadikan sauna dan jakuzi. 

Malah, premis itu turut menyediakan bilik khas ‘dark room’ untuk pengunjung melampiaskan nafsu.

Seramai 17 daripada lebih 200 yang ditahan merupakan penjawat awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast