KUALA LUMPUR – Pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang secara rasminya bermula hari ini akhirnya menamatkan isu legasi di Kawasan tersebut sejak bertahun lamanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berharap ia juga menamatkan isu-isu berbangkit sebelum ini.
“Insyallah. Mudah-mudahan selesai dan saya jangka ini juga akan menjadi pemangkin kepada bukan sahaja Kampung Sungai Baru bahkan Kampung Baru keseluruhannya ,” katanya ketika ditemui di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud; Pengarah KL City Gateaway Sdn Bhd, Abdul Hadi Ahmad dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus.
Menurut Zaliha, projek tersebut dijangka siap dalam tempoh empat tahun bermula hari ini.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan dan tahniah kepada penduduk dan pemaju.
“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada penduduk dan pemaju, akhirnya kita berjaya menyelesaikan satu isu legasi yang begitu lama dinantikan penduduk tempatan,” tambahnya.
Terdahulu, beliau dalam ucapannya memberi jaminan identiti Melayu dan adat resam kawasan itu sentiasa terpelihara meskipun pembangunan semula dilaksanakan.
“Ada pihak yang cuba meniup sentimen bahawa Kampung Sungai Baru akan kehilangan identiti asalnya, tetapi saya tegaskan walaupun sudah banyak kali diulang di Parlimen, saya bersama pasukan akan pastikan identiti Kampung Sungai Baru itu kekal dan tidak akan lenyap.
“Dalam urusan ini, saya sudah minta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) untuk lihat dengan teliti kesemua aspek untuk memastikan identiti asal, bukan saja identiti Melayu, tetapi adat resam di Kampung Sungai Baru ini kekal terpelihara.
“Ini bukan pengakhiran kepada Kampung Sungai Baru, malah ini adalah permulaan baru kepada Kampung Sungai Baru,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan pihak pemaju bersetuju untuk mengecualikan caj penyelenggaraan bagi tahun pertama selesainya pembangunan semula.
Ujar Zaliha, pemaju kemudian menanggungnya dengan dana penampan sebanyak 70 peratus bagi tahun kedua hingga tahun ke-10.
“Komitmen ini bernilai sehingga RM4 juta. Selain itu, pemaju juga bersetuju untuk menyediakan kelengkapan tambahan rumah berbentuk pendingin udara, hud dan dapur masak bernilai keseluruhan sehingga RM2 juta.
“Pemaju turut bersetuju menanggung kos pembinaan berjumlah RM15 juta untuk menghubungkan Kampung Baru amnya dan Kampung Sungai Baru khasnya dengan akses terus ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH),” katanya. -MalaysiaGazette
















