KUANTAN – Warga kerja Kumpulan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Holdings diseru untuk terus memelihara integriti dan menjauhi amalan rasuah dalam menjalankan teras perniagaannya.
Pegawai Unit Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Mohamad Hussain berkata, setiap individu dalam organisasi memegang peranan penting sebagai benteng mencegah salah laku.
“Integriti bukan sekadar slogan organisasi. Ia mesti diterjemahkan dalam setiap keputusan, setiap proses dan setiap urusan harian.
“Kecuaian kecil sekali pun boleh membuka ruang kepada risiko rasuah,” katanya semasa menyampaikan Ceramah Pencegahan Rasuah di Dewan Serbaguna UMPSA Holdings, Kompleks UMPSA Holdings kelmarin.
UMPSA Holdings merupakan anak syarikat milik penuh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah yang ditubuhkan dengan tujuan untuk menjana keuntungan daripada aktiviti perniagaan seperti pembangunan hartanah, pengurusan kemudahan, komersialisasi teknologi dan perundingan.
Beliau turut berkongsi kes-kes rasuah sebenar sebagai pengajaran kepada peserta selain memperincikan peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 yang perlu diberi perhatian oleh warga korporat khususnya mereka yang terlibat dalam proses perolehan, pengurusan kontrak dan kelulusan projek.
Pada sesi sama, seramai 80 warga kerja UMPSA Holdings turut didedahkan mengenai mekanisme pelaporan salah laku, tatacara mengelakkan konflik kepentingan serta langkah pengawalan dalaman yang boleh diperkukuh dalam operasi harian syarikat.
Sementara itu, golongan belia di negeri ini menunjukkan komitmen tinggi menolak rasuah menerusi penglibatan aktif dalam program kesedaran dianjurkan Kolej UNITAR Kuantan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang dan Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP).

Pegawai Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Pahang, Norhidayah Md. Nor berkata, rasuah sentiasa bermula dengan toleransi terhadap salah laku kecil, sogokan kecil dan normalisasi perbuatan yang dianggap remeh.
“Jika belia membina ketegasan hari ini, mereka sedang membina negara yang lebih bersih esok,” katanya dalam sesi forum khas bertajuk “Belia Tolak Rasuah” di Dewan Utama Kolej UNITAR Kuantan di sini pada kelmarin.
Forum khas itu dikendalikan Pensyarah Kolej UNITAR Kuantan, Muhammad Nur Ilmi Shaharin bersama Norhidayah dan Pemeriksa Kira-Kira 1 Majlis MBNP, Nurul Fatin Athirah Hairol Azri dengan penyertaan seramai 150 peserta terdiri daripada pelajar dan pensyarah Kolej UNITAR Kuantan.
Norhidayah turut memberi penerangan mendalam mengenai isu rasuah dan kepentingan literasi antirasuah dalam kalangan belia, termasuk kemampuan mengenal pasti taktik manipulasi, sogokan kecil serta penggunaan saluran laporan seperti sistem Portal Aduan SPRM.
Selain itu SPRM Pahang telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Zaliza Zulkipli dalam usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan perancangan program-program pencegahan rasuah yang akan melibatkan warga kerja MBK serta syarikat-syarikat berdaftar yang berurusan dengan MBK.
Beliau berkata, program itu dijangka merangkumi sesi libat urus, latihan pematuhan, advokasi integriti serta pemantapan kefahaman terhadap prosedur kerja bebas rasuah.
“Kunjungan ini bertujuan menggerakkan hubungan strategik antara SPRM Pahang dan MBK, khususnya dalam mempertingkatkan keberkesanan tadbir urus, integriti organisasi serta pengurusan risiko rasuah di peringkat pihak berkuasa tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















