PETALING JAYA – Gara-gara memiliki bahan lucah dalam telefon pintar, seorang kelindan lori didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
S. Thanaraj, 32, mengaku memiliki bahan dalam bentuk gambar dan video di sebuah kondominium di Bandar Utama, di sini, pada pukul 12.30 tengah hari, 23 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Leong Hui di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa manakala tertuduh diwakili peguam, Datin Raj Preet Kaur.
Terdahulu, Raj Preet memohon denda minimum dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai kelindan lori dengan gaji kira-kira RM50 sehari.
Ujarnya, tertuduh juga mempunyai ibu yang sedang sakit dan merupakan anak lelaki tunggal yang menyara keluarga.
Bagaimanapun, Leong Hui memohon denda setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Di mahkamah sama, Thanaraj mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdaya seorang remaja perempuan berusia 16 tahun supaya menyerahkan barang kemas bernilai RM15,000.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kediaman di Seksyen 11 Kota Damansara, dekat sini, 26 Oktober lalu.
Thanaraj didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan sehingga 10 tahun serta sebatan, dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Leong Hui memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia namun Raj Preet memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan penjamin tidak berkemampuan.
Shahril Anuar menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia. Sebutan kes pada 3 Februari 2026 bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















